NOTA: #ListenToAided adalah lebih kepada kupasan dan pandangan peribadi penulis dalam perkara berkaitan muzik tempatan dan antarabangsa.

***

Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35) berlangsung dengan meriah semalam.

Kalah menang sudah jadi adat pertandingan, bagi saya, kita tidak perlu kecewa atau marah sekiranya penyanyi dan lagu kegemaran tidak mendapat nombor atau pengiktirafan yang diharapkan.

Ia kerana, semua finalis yang bertanding mempunyai kelebihan dan kualiti masing-masing.

Dalam #ListenToAided kali ini, saya akan menyenaraikan beberapa persembahan yang saya rasakan cukup memukau dalam AJL35.

Gila - Kaka Azraff, Loca B & Noki



Selayaknya bergelar juara! Sebaik sahaja tiga penyanyi ini memulakan persembahan mereka, saya rasa ramai yang meremang bulu roma!

Lirik lagu ini sangat unik, disulami pula dengan alunan muzik sedap didengar. This song is just on another level!

Penataan gaya Kaka, Loca B dan Noki juga harus diberi pujian kerana ketiga-tiganya kelihatan up to date dengan standard penggayaan masa kini.

Aina Abdul - Semalam



Bakat naib juara ini haruslah dipuji, Aina bukan sahaja hebat menyanyi, malah bijak menulis dan menggubah lagu hingga menyapu tiga trofi kemenangan hanya untuk dirinya sendiri!

Persembahan Aina di pentas berprestij itu kelihatan gah dan penuh dramatik. Elemen dark balad dalam lagu Semalam itu telah dizahirkan dengan jelas dan tentunya menjadi!

Shiha Zikir, Kmy Kmo & Luca Sickta - 7 Nasihat



Meskipun lagu ini terlangkau jauh dari ramalan juara, namun persembahan Shiha bersama Kmy Kmo dan Luca Sickta terus melekat dalam ingatan saya.

Pada saya, mereka ini brilliant! Memandangkan SOP menetapkan kapasiti pentas tidak boleh melebihi enam orang, what's the problem? Mereka tampilkan CGI penari pada layar TV untuk wujudkan kemeriahan!

Vokal Shiha melakukan lenggok Qasidah juga bukan biasa-biasa. Bahagian rap Kmy Kmo dan Luca Sickta yang sarat nasihat itu juga kedengaran kemas dan selesa untuk halwa telinga.

Demikianlah tiga persembahan yang paling saya sukai dalam AJL35.

Apapun, semua finalis telah melakukan yang terbaik dan bukan senang untuk mereka sampai ke peringkat itu.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua finalis AJL35!