Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Liza Abdullah Anggap Allahyarham S Atan Ibarat Keluarga Sendiri - “Arwahlah Yang Kenalkan Saya Dengan Bekas Suami”

Khairil Khusyairi
17/11/2024 08:25 MYT
Pelakon dan penyanyi, Liza Abdullah, 60, gagal menahan rasa sedih dengan pemergian komposer terkenal tanah air, Allahyarham Datuk S Atan yang meninggal dunia pada Sabtu.

Persahabatan Sejak Era 70-an

Kongsi Liza, dia dan Allahyarham S Atan mula bersahabat sejak era 70-an lagi malah Liza juga yang memperkenalkan sahabatnya iaitu Datin Norizan (balu arwah) kepada arwah ketika itu.

“Saya mengenali arwah sejak zaman saya belum berkahwin lagi waktu muda-muda dahulu. Balu arwah, Datin Norizan Yeob sebenarnya merupakan sahabat lama saya.

“Masa zaman muda, saya selalulah bawa Norizan menemani saya dalam industri seni sampai ke Singapura saya bawa dia. Secara tak langsung, saya juga kenalkan Norizan kepada arwah.

“Kalau nak tahu juga, arwahlah yang kenalkan saya dengan bekas suami sebelum ini. Meskipun saya sudah tidak lagi bersama bekas suami, hubungan akrab dengan S Atan tak pernah putus,” katanya kepada pemberita.

Liza berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Masjid Jamek Bandar Kajang, pagi ini.

Anggap Arwah Seperti Keluarga

Kongsi Liza lagi, dia menganggap arwah seperti keluarganya sendiri kerana sering bergurau dan mengusik biarpun arwah seorang yang garang ketika bekerja.

“Di mata saya, dia sudah macam seorang abang, sudah macam keluarga. Saya ini pula dari dahulu memang suka mengusik dan bergurau dengan dia.

“Masa dia sakit sebelum ini pun saya sempat menziarahi dan mengusik dirinya demi menceriakan jiwanya. Tetapi, kalau dia sebagai seorang penerbit dan komposer, dia memang garang.

“Tetapi dia tetap seorang yang penyayang. Seluruh anak seni dalam dunia muzik yang mengenali dan pernah bekerjasama pasti sangat merasai kehilangannya,”ujarnya.

Allahyarham banyak menghasilkan lagu koleksi raya yang cukup nostalgia seperti Balik Kampung, Menjelang Hari Raya, Dari Jauh Ku Pohon Maaf, Cahaya Aidilfitri, Indahnya Beraya Di Desa dan banyak lagi.

Allahyarham S Atan, atau nama sebenarnya Hashim Said, menghembuskan nafas terakhir pada Sabtu petang di kediamannya di Kajang akibat komplikasi jantung.

Jenazah kemudian disolatkan di Masjid Jamek Bandar Kajang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, pagi ini.

Hasil perkongsian hidup dengan Datin Norizan Yeob, Allahyarham dikurniakan enam anak dan 10 cucu. Beliau juga mempunyai empat anak daripada perkahwinan terdahulu.

ARTIKEL BERKAITAN: "Kita Akan Dapat Jumpa Komposer Macam Allahyarham S Atan 10 Tahun Sekali" - M Nasir

ARTIKEL BERKAITAN: Jenazah S Atan Selamat Dikebumikan

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya Rasa Satu Rezeki Sebab Ayah Meninggal Dunia Di Sebelah Saya, Ketika Saya Ada" - Anak S Atan

ARTIKEL BERKAITAN: Belasungkawa: Berpulangnya Komposer 1,000 Karya & Bapa Lagu Raya, S. Atan Pernah Pesan: “Jika Saya Sudah Tiada…”

ARTIKEL BERKAITAN: "Selepas Azan Subuh Dia Beri Isyarat 5 Jari, Saya Ingatkan …" - Isteri Allahyarham S Atan

ARTIKEL BERKAITAN: S Atan Meninggal Dunia

#Penyanyi #Meninggal Dunia #Komposer #Liza Abdullah #S Atan
;