"Kita Akan Dapat Jumpa Komposer Macam Allahyarham S Atan 10 Tahun Sekali" - M Nasir
Penyanyi dan komposer legenda, Datuk M Nasir, 67, menyifatkan pemergian Allahyarham Datuk S Atan seorang yang tiada galang gantinya buat industri muzik tanah air.
Kehilangan besar
M Nasir berkata, komposer S Atan adalah pencipta lagu yang sukar dicari dan umpama permata seni negara yang disegani ramai.
“Dalam perjalanan dunia seni muzik ini, kita akan dapat jumpa komposer macam Allahyarham, 10 tahun sekali. Orang macam arwah, karyanya bagus dan besar.
“Saya masih ingat, tahun 70-n dan 80-an, itu adalah kemuncak kerjaya dan karyanya. Kemudian, tahun 80-an muncul pula orang lain.
“Tetapi dalam 10 tahun tempoh itu, dia memang boleh kita anggap sebagai Raja Pop khususnya penciptaan lagu-lagu Pop,” katanya.
BERITA TRENDING: Lagu Raya Lama Masih Segar & Jadi Pilihan, S Atas; “Buatlah Apa Cara Sekali Pun, Unsur Kemelayuan…”
BERITA TRENDING: "Dia Pinjamkan Duit Untuk Orang Lain" - Isteri Dedah Peribadi Mulia S AtanBERITA TRENDING: DFP Meraikan Lagu-Lagu Raya Ikonik Dengan Komposer Lagenda, Konsert Cahaya Aidilfitri - A Tribute To S. Atan
BERITA TRENDING: S Atan Meninggal Dunia
M Nasir berkata demikian semasa di perkarangan Masjid Jamek Bandar Kajang, hari ini.
Dalam pada itu, pelantun lagu Apokalips itu turut memaklumkan dia sempat berjumpa dengan arwah beberapa bulan lalu dan membincangkan soal industri muzik negara.
“Saya bukan selalu dengan dia, kami jumpa pun dah sangat lama. Tetapi antara kenangan yang saya ingat bersama arwah ialah semasa dia pernah menjadi pemuzik semasa saya mengadakan persembahan di Manchester, England pada tahun 1997.
“Ketika itu adalah satu-satunya tempoh yang lama saya dapat bersama dengan S Atan untuk menjayakan sebuah persembahan.
“Lagi satu, semasa saya buat sebuah dokumentari tentang muzik sebelum ini. Saya pernah temu bual dia dan kami berbincang mengenai perkembangan industri seni.
“Ada juga dia meluahkan tentang kekecewaan berkenaan industri ketika itu namun bagi saya dia tetap seorang komposer yang prolifik dan pengaruhnya dalam dunia muzik pop Melayu ini sangat besar,” ujarnya.
Allahyarham banyak menghasilkan lagu koleksi raya yang cukup nostalgia seperti Balik Kampung, Menjelang Hari Raya, Dari Jauh Ku Pohon Maaf, Cahaya Aidilfitri, Indahnya Beraya Di Desa dan banyak lagi.
Allahyarham S Atan, atau nama sebenarnya Hashim Said, menghembuskan nafas terakhir pada Sabtu petang di kediamannya di Kajang akibat komplikasi jantung.
Jenazah akan disolatkan di Masjid Jamek Bandar Kajang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, pagi ini.
Hasil perkongsian hidup dengan Datin Norizan Yeob, Allahyarham dikurniakan enam anak dan 10 cucu. Beliau juga mempunyai empat anak daripada perkahwinan terdahulu.