Hiburan

Belasungkawa: Berpulangnya Komposer 1,000 Karya & Bapa Lagu Raya, S. Atan Pernah Pesan: “Jika Saya Sudah Tiada…”

gempak
Maliah Surip
16/11/2024
22:53 MYT
Sponsor Banner
Belasungkawa: Berpulangnya Komposer 1,000 Karya & Bapa Lagu Raya, S. Atan Pernah Pesan: “Jika Saya Sudah Tiada…”
“Bagi saya, kalau nak beri anugerah berilah ketika masih hidup.
"Saya pesan pada isteri, kalau ada mana-mana pihak beri anugerah ketika saya sudah tiada, jangan terima.
"Sebaliknya, kenang saya dalam doa dan jangan lupa sedekahkan al-Fatihah buat saya," begitu permintaan yang dipetik daripada temubual Allahyarham S Atan bersama sebuah akhbar Oktober lalu.
Allahyarham Datuk S Atan atau nama sebenarnya, Hashim Said berkata demikian selepas menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-36 yang berlangsung baru-baru ini.
Namun hanya selepas satu bulan kenyataan tersebut diberikan, industri muzik tempatan dikejutkan dengan berita S Atan meninggal dunia.

BERITA TRENDING: S Atan Meninggal Dunia

Menurut kenyataan yang diberikan isteri, Datin Norizan Yeob, suami yang dicintai menghembuskan nafas terakhir pada usia 75 tahun kerana sesak nafas di kediaman mereka di Kajang, Selangor.

BERITA TRENDING: "Selepas Azan Subuh Dia Beri Isyarat 5 Jari, Saya Ingatkan …" - Isteri Allahyarham S Atan

Pemergian S Atan yang cukup mahir bermain instrumen seperti bonggo dan piano yang menjadi sakti dalam penghasilan karya sebagai seorang komposer barangkali tidak memberi banyak kesan kepada generasi karyawan seni tempatan masa kini.
Sebaliknya khabar berpulangnya anak kelahiran Singapura ini ke Rahmatullah membawa erti industri seni nusantara telah kehilangan sebutir permata yang selama hayatnya memperjuang nuansa Melayu dalam setiap karyanya.
S Atan, lelaki kurus sederhana tinggi bermisai yang selalu manis tersenyum dan lebih banyak tunduk takzim daripada bercakap kosong ini adalah meastro muzik yang telah melahirkan segudang karya berkualiti dan malar segar.
Dek kerana terlalu banyak karya yang telah dihasilkan sejak tahun 1974 sehingga penghujung nafas, S Atan disifatkan sebagai ‘komposer 1,000 karya’.
Tidak sedikit juga penyanyi yang telah mendapatkan sentuhan magis allahyarham sebagai komposer.
Nama-nama besar seperti Biduanita Negara, Datuk Sri Siti Nurhaliza, Allahyahram Tan Sri S M Salim Datuk DJ Dave, DatukJamal Abdillah, Carefree, Black Dog Bone dan Allahyarham DatukSudirman Haji Arshad ; semua pesohor ini membesar dan beruntung kerana telah pernah mendapatkan khidmat karya-karya agung S Atan.
Allahyarham juga menerima jolokan sebagai Bapa Lagu Raya kerana setiap sentuhan terhadap lagu musim perayaan yang dihasilkannya sentiasa ‘menjadi’ dan bersifat malar segar.
Jika anda pernah mendengar lagu raya seperti Dari Jauh Ku Pohon Maaf (Datuk Sudirman), Balik Kampung (Sudirman), Menjelang Hari Raya (Datuk DJ Dave), Cahaya Aidilfitri (Black Dog Bone), Indahnya Beraya Di Desa (Azlina Aziz) dan Salam Aidilfitri (Datuk Jamal Abdillah) —- ini semua telah menerima sentuhan komposer genius, S Atan.
Menurut Allahyarham yang pernah dimasukkan ke pusat perubatan kerana jangkitan kuman paru-paru pada September lalu, setiap lagu yang menerima sentuhannya akan dipastikan likat dengan nuansa Melayu.
“Setiap kali bila saya mencipta lagu, elemen muzik Melayu kena ada.
"Orang Melayu dengan melodi Melayu tidak boleh dipisahkan dan disebabkan itu, kebanyakan lagu saya menjadi malar segar dan masih diminati," ujarnya.
Kini sang komposer yang sentiasa mementingkan nuansa Melayu dalam setiap karyanya telah pulang kepada sang Pencipta.
Di sepanjang hayatnya, S Atan telah menaburkan banyak bakti dan jasa terhadap perkembangan industri seni terutama muzik Melayu dan bertuahlah seluruh karyawan yang pernah bekerjasama dengan beliau.
Dan buat generasi kini, tolong jadikan karya-karya berkualiti S Atan ini sebagai rujukan demi menyambung legesi seni yang tiada duanya.
Al Fatihah Hashim Said. Salam takziah buat seluruh keluarga. Jasa dan bakti S Atan akan dikenang sepanjang zaman.

BERITA TRENDING: Lagu Raya Lama Masih Segar & Jadi Pilihan, S Atas; “Buatlah Apa Cara Sekali Pun, Unsur Kemelayuan…”

BERITA TRENDING: "Dia Pinjamkan Duit Untuk Orang Lain" - Isteri Dedah Peribadi Mulia S Atan

BERITA TRENDING: DFP Meraikan Lagu-Lagu Raya Ikonik Dengan Komposer Lagenda, Konsert Cahaya Aidilfitri - A Tribute To S. Atan

Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024