Aktres Fauziah Nawi gembira kerana dapat berkongsi masalah dan keperitan dihadapi serta diharungi anak seni kepada pegawai-pegawai Istana Negara, semalam.

Fauziah turut menjunjung kasih atas keprihatinan dan kepekaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap keluhan penggiat seni yang terkesan akibat COVID-19.

“Alhamdulillah, atas titah perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda, patik bersama beberapa rakan seperjuangan dapat untuk bertemu dengan pegawai-pegawai Istana Negara pada pagi hari ini.

“Dalam pertemuan ini, patik-patik semua telah diberi peluang meluahkan dan menyuarakan masalah dan keperitan yang dihadapi serta keadaan sebenar yang diharungi oleh anak-anak seni pada ketika ini.

“Patik-patik semua juga telah memberi beberapa pandangan dan cadangan supaya anak-anak seni, tanpa mengira cabang seni yang kami ceburi, khususnya supaya diberi kelonggaran dengan ketetapan SOP untuk bekerja mencari rezeki demi kelangsungan hidup kami dan keluarga-keluarga kami.

“Orang macam kami, ada kerja, ada gaji. Tidak ada kerja, tak ada gaji. Sejak penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan PKP, anak-anak seni tidak terkecuali dari tekanan ekonomi,” katanya.

Fauziah berkongsi perkara tersebut di status akaun Facebook miliknya.

Dalam status tersebut, dia turut merakamkan penghargaan kepada pihak berwajib dan semua persatuan dalam industri seni atas usaha baik dalam menangani masalah yang dihadapi.

“Semoga luahan dan perkongsian patik-patik semua ini mendapat perhatian Seri Paduka Baginda yang amat prihatin terhadap nasib dan keperitan hidup rakyat yang amat terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

“Patik-patik semua mendoakan semoga Seri Paduka Baginda dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dikurniakan kesejahteraan dan keafiatan berpanjangan serta berada di bawah riayah dan perlindungan Allah SWT serta kekal memerintah negara dan menaungi rakyat dengan adil dan saksama,” kata pelakon itu lagi.