"Terhibur, best, kelakar," demikian antara komen rawak dalam platform YouTube MeleTOP menerusi animasi sulung terbitan pelawak terkenal, Nabil Ahmad.

Sudah dua episod ditayangkan, animasi pendek berdurasi 4 minit itu rata-ratanya mengimbas semula kegemilangan sini animasi kartun yang pernah popular sekitar era 1990-an seperti Usop Sontorian, Anak-Anak Sidek dan Kampung Boy.

Malah, ramai yang memuji usaha Nabil untuk melahirkan siri animasi sendiri dalam masa sama menyuntik nasihat dalam humor.

Siri animasi Lu Pikir La, Nabil! ini menceritakan zaman kanak-kanak Nabil yang penuh dengan angan-angan, persahabatannya dan rakan-rakan serta kekalutan perangai orang kampung.

Uniknya juga, selain jalan cerita dan idea asal dari Nabil sendiri, siri animasi ini juga mengetengahkan dialek Negeri Sembilan sebagai perantara utama.

Malah, nama dan watak animasi ini adalah sebenar seperti yang wujud di kampung kelahiran Nabil. Begitu juga kisah-kisah yang diangkat daripada inspirasi zaman kanak-kanaknya.

Episod pertama Superhero Kampung telah disiarkan pada 14 Oktober lalu, menceritakan pengenalan Nabil dari kecil yang kuat berangan untuk menjadi superhero menolong orang kampungnya. Terpengaruh dengan kartun kegemaran Spiderman, aksi luar kawalan Nabil menimbulkan kemarahan bapanya.

Manakala episod kedua berjudul Misi Mencari Labah-Labah mengisahkan Nabil yang tidak berputus asa dan mengajak dua rakannya Fahmi dan Mok untuk mencari labah-labah demi menjadi Spiderman.

Berbaki dua episod lagi, siri animasi Lu Pikir La, Nabil! akan disiarkan setiap Khamis sehingga 4 November ini di platform YouTube MeleTOP.