Penularan wabak COVID-19 memyebabkan komunikasi melalui lip-reading atau gerakan bibir bagi golongan orang kelainan upaya (OKU) pendengaran menjadi sulit apabila orang ramai terpaksa mengenakan topeng untuk menutup mulut, lapor Awani.

Namun pasangan tukang jahit di Indonesia ini berjaya menemukan penyelesaian kepada masalah berkenaan.

Pasangan suami isteri di Makassar, Sulawesi ini mula menghasilkan topeng kain yang dilengkapi plastik lutsinar di bahagian tengah untuk membantu rakan-rakan mereka yang mengalami masalah pendengaran.

"Sejak wabak itu bermula, semua orang memakai topeng muka. Bagi mereka yang mengalami masalah pendengaran, sukar untuk mereka berkomunikasi kerana tidak dapat membaca gerakan bibir.

"Kerana itu, banyak salah faham yang berlaku," kata Faizah Badaruddin, 52 tahun.

Kebiasaannya, Faizah dan suaminya menjahit bantal, cadar dan langsir untuk dijual kepada pelanggan.

Sebelum melaksanakan ideanya, Faizah terlebih dahulu menonton video pengajaran dalam talian untuk mengetahui cara bagi menghasilkan topeng yang bersesuaian.

Sejak awal April, perniagaan kecil mereka menghasilkan kira-kira dua dozen topeng lutsinar sehari.

Topeng itu datang dalam tiga saiz iaitu kecil, sederhana dan besar.

Ia dijual pada harga antara 10,000 rupiah (RM2.80) hingga 15,000 rupiah (RM4.20) setiap satu.

Sumber: Astro Awani