Pelatih pakar bedah, Dr. Nur Amalina Che Bakri menyelar kenyataan pakar motivasi, Datuk Prof Dr. Muhaya Mohamad susulan video viral Kenapa Wanita Lambat Dapat Jodoh baru-baru ini.

BACA: "Orang Lelaki Suka Perempuan Lembut-Lembut, Biar Macam Bodoh-Bodoh Sikit" - Prof Muhaya

Jelas Amalina, persepsi wanita tidak seharusnya berusaha untuk melebihi daripada kaum lelaki dan perlu berperwatakan 'bodoh-bodoh sikit' bertentangan daripada pendiriannya.

"Maafkan saya, ibu saya tak didik saya untuk menjadi 'bodoh-bodoh sikit' depan lelaki demi bertemu jodoh.

"Mesej yang cuba anda sampaikan kepada golongan wanita itu tidak tepat. Wanita tidak seharusnya merendahkan tahap intelektual mereka untuk memikat lelaki," katanya yang mengulang kicau video Prof Muhaya.

Jelas Amalina lagi, kenyataan itu bersifat penghinaan kepada kedua-dua jantina baik lelaki mahu pun wanita.

"Ia satu penghinaan kepada wanita dan lelaki. Jadi sajalah diri sendiri, biar wanita menjadi siapa yang dia mahukan.

"Cukuplah dengan pemikiran 'kamu perlu jadi sekian sekian' jika mahu berkahwin.

"Tolonglah berhenti merendah-rendahkan golongan wanita," ujarnya.

Terdahulu, sepotong video dari akaun media sosial Prof Muhaya yang mengulas mengenai punca wanita lambat dapat jodoh tular di Twitter dan mendapat pelbagai reaksi ramai.