Umum mengetahui tentang perselisihan faham antara dua selebriti popular, Ifa Raziah dan Roslan Shah. Hampir lima tahun ‘bermusuhan’, hubungan baik yang pernah tersemai antara dua individu itu masih belum ada tanda-tanda akan pulih.

Justeru, sebagai rakan baik kepada kedua-dua pihak, pelakon dan usahawan, Didie Alias berharap agar perselisihan faham yang berlaku antara Ifa dan Roslan dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Saya rasa kita temukan sahaja dua orang tu, insya-Allah boleh selesai. Sebab kadang-kadang, mereka ni cakap lain-lain, sebab tak berjumpa kan.

“Cik Lan (panggilan mesra Roslan Shah) sendiri pernah cakap dengan saya yang mungkin dia ada salah. Saya cakap balik yang tak mengapa, minta maaf sahaja. Kalau dia dan minta maaf kembali, Cik Lan kena maafkan dia.

“Maksud saya, nak bergaduh sampai bila? Makin lama makin tua kot? Takkan hari-hari nak bertekak,” katanya kepada Gempak.

Dalam pada itu, Didie menjelaskan yang dia pernah menasihati dua sahabatnya itu supaya tidak memanjangkan isu antara mereka kerana ia dilihat tidak memberi manfaat kepada diri masing-masing.

“Baik Ifa mahupun Cik Lan, saya pernah cakap dengan kedua mereka, apa yang mereka dapat kalau lama bergaduh? Kepada Ifa saya cakap kalau bergaduh dengan Cik Lan dan Cik Lan ada followers sampai 8 juta tak mengapalah.

“Dan mereka dulu pernah sama susah. Rezeki Tuhan ada bagi lebih jangan buat macam ni. Cik Lan ada tolong Ifa meniaga sampai Singapura… dan kadang-kadang Cik Lan pun ada perangai masuk air dia.

“Jadi dahlah, elok kita pertemukan mereka. Nanti kita tengok macam mana,” ujar Didie yang mempunyai perancangan untuk kembali menyatukan dua ‘seteru’ itu kembali menjadi sahabat.

Sebelum ini, menerusi laporan media, Roslan Shah pernah memberitahu yang dia ada meminta maaf kepada Ifa. Malangnya, Ifa tidak memberikan sebarang respons terhadap permohonan maaf tersebut.