Selepas filem pertamanya Tiada Tajuk ditayangkan tetapi tidak mendapat sambutan yang memberangsangkan, ianya bukanlah satu perkara yang mematahkan semangat pengarah muda, Mawi.

Mawi yang pernah menjadi satu fenomena di Malaysia apabila berjaya menjadi juara Akademi Fantasia musim yang ketiga, kini mula giat menjadi pengarah dan penerbit.

Terkini, Mawi bakal menghasilkan filem keduanya yang bergenre komedi seram bertajuk Hantu Kuat Ketawa. Dalam beberapa temu bual sebelum ini, dia ingin menyatukan dua pelawak popular iaitu Saiful Apek dan Syanie Hisham dalam satu filem arahannya.

"Saya rindu mahu melihat gandingan dua pelawak senior iaitu Saiful Apek dan Syanie. Filem Hantu Kuat Ketawa bakal mempunyai empat orang pelakon utama iaitu Saiful Apek, Syanie dan Along Cham bersama dengan seorang pelakon wanita yang belum didedahkan namanya," kata Mawi.

Namun pelakon wanita yang belum didedahkan tersebut mungkin digalas oleh Zarina Anjoulie apabila satu pertemuan diadakan bersama bekas pelakon yang kini lebih aktif sebagai personaliti media sosial.

"Semalam meeting dengan Anju untuk projek movie Hantu Kuat Ketawa. Senang betul kerja dengan Anju dan husband dia. Simple je. Cerita tak payah panjang-panjang. Dia terus on!

"Makin tak sabar nak masuk set. Dapat rasa aura dia bila bergabung dengan Saiful Apek, Syanie, Along Cham dan Anas Tahir. Mesti best!" tulis Mawi pada satu entri di Instagramnya yang bergambar bersama Anju serta isterinya, Ekin.

A post shared by MAWI @ZAYAN.MY (@cahayaasmawi)


Selain daripada mengarah dan menulis skrip untuk filem tersebut, Mawi juga akan muncul sebagai cameo, dan jika Anju bersetuju untuk berlakon, ini merupakan kemunculan pertamanya sejak dia berhenti berlakon enam tahun yang lalu.