Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika (NASA) berkongsi imej satelit negara Indonesia yang diambil pada 14 September lalu.

Foto satelit merakamkan gelombang asap dari Kalimantan, Indonesia yang dimuat naik di laman sesawang mereka itu menunjukkan masalah jerebu yang dihadapi sekarang sama seperti krisis pencemaran udara pada tahun 2015.



Hasil penemuan saintis Robert Field dari Institut Nasa Gorddard itu memperlihatkan keadaan asap tebal yang berlaku akibat kebakaran sehingga ia tidak dapat dikesan oleh satelit.

Malah, satelit tersebut turut mengesan bukti kebakaran telah berlaku sejak Ogos tetapi kekerapannya meningkat pada minggu pertama September.

Sementara itu di laman sosial Twitter, ada juga warganet berkongsi video burung-burung yang mati jatuh dari langit gara-gara keadaan jerebu semakin buruk.

Sehingga kini, semua penduduk Malaysia diminta untuk mengehadkan aktiviti luar kerana khuatir asap jerebu boleh memudaratkan kesihatan.