VIRAL
Anggota Bomba Bantuan Terkait Video Tak Senonoh Digantung Tugas
Anggota bomba bantuan yang terpalit video berkelakuan tidak sopan dan tular di media sosial baru-baru ini telah digantung tugas, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad.
Beliau berkata, arahan penggantungan itu dikeluarkan kepada Pengarah JBPM Perak untuk menggantung tugas anggota berkenaan, selain penubuhan jawatankuasa siasatan dalaman bagi menyiasat insiden berkenaan.
“Kita beri tempoh 48 jam untuk siasatan awal. Prosedur ini penting bagi memastikan hak mendengar serta hak pembelaan diberikan kepada pihak terbabit sebelum sebarang keputusan akhir dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan National Firefighter Drill 2025 di Padang Kawad Akademi JBPM Wilayah Timur, Wakaf Tapai, di sini hari ini.
Nor Hisham menegaskan bahawa walaupun individu terbabit hanyalah anggota bomba bantuan, insiden berkenaan tetap memberi kesan terhadap reputasi dan imej JBPM secara keseluruhan.
“Jabatan ini disifatkan satu keluarga besar dengan lebih 17,700 anggota tetap, tidak termasuk anggota sukarela dan komuniti.
“Sebab itu imej pasukan amat bergantung kepada disiplin dan integriti setiap anggota,” katanya.
Tambahnya, JBPM amat kecewa dengan sebarang tindakan yang mencemarkan nama baik jabatan dan menekankan keperluan pengawasan yang ketat terhadap salah laku dalam kalangan anggota.
Sumber: Buletin Utama
Must-Watch Video