ASTRO GEMPAK ARTICLE
Malaysia Larang Import Sisa Plastik Dari Amerika Syarikat, Aktivis Beri Sokongan Padu! - "Bagus, Kita Patut Uruskannya Sendiri"
Malaysia secara rasmi menghentikan penerimaan import sisa plastik dari Amerika Syarikat mulai akhir Jun 2025.
Ia menjadi satu langkah yang memberi tekanan besar kepada negeri seperti California yang selama ini banyak bergantung kepada negara luar untuk menguruskan sisa plastik mereka.
Larangan ini dibuat kerana AS masih belum memeterai perjanjian Konvensyen Basel, perjanjian antarabangsa yang mengawal pergerakan sisa berbahaya merentas sempadan.
Selepas China melaksanakan larangan serupa pada 2018, Malaysia muncul sebagai antara destinasi utama sisa plastik AS.
Pada 2024, California sahaja telah menghantar lebih 10 juta paun sisa plastik ke Malaysia, menurut Basel Action Network.
Malaysia kini hanya menerima sisa plastik dari negara yang menandatangani Konvensyen Basel dan melalui prosedur ketat.
Menurut laporan LA Times, pelabuhan di Malaysia mula mengalami kesesakan dan aktiviti perdagangan plastik terhenti disebabkan ketidakpastian terhadap pelaksanaan undang-undang baharu ini.
Di sebalik kekecohan ini, aktivis seperti Zero Waste Chef menyokong penuh tindakan Malaysia.
"Malaysia tidak lagi menerima sisa plastik AS. Bagus! Ini masalah kita, dan kita sendiri yang patut uruskan.
"Selepas China melarang import sisa kita, kita mula hantar ke Malaysia, Vietnam dan Thailand. Kita perlu kurangkan, kurangkan, kurangkan dan hentikan pencemaran plastik dari sumbernya.
"Kita tak boleh terus berharap negara-negara membangun bersihkan kekotoran kita," tulisnya.

Langkah Malaysia ini mendapat pujian aktivis kerana membantu mengekang eksploitasi terhadap negara membangun yang sering dijadikan ‘tapak pelupusan luar’ oleh negara maju.
Bagi California, yang masih bergelut dengan kadar kitar semula yang rendah, larangan ini mencetuskan keperluan mendesak untuk memperkukuh pengurusan sisa domestik.
Undang-undang seperti SB 54 yang diperkenalkan pada 2022 mewajibkan pengurangan plastik guna sekali sebanyak 25 peratus menjelang 2032 dan kadar kitar semula sebanyak 65 peratus, namun cabaran pelaksanaan masih besar.
Must-Watch Video