Laman Utama

#MamiPiqahCorner: “Tak Kan Lah Tak Ingat Anak?”- Jangan Kecam Ibu Bapa Tertinggal Anak Dalam Kereta Sehingga Maut…Cuba Bayangkan Kita Di Tempat Mereka!

gempak
Syafiqah Jalal
26/03/2021
09:41 MYT
Sponsor Banner
#MamiPiqahCorner: “Tak Kan Lah Tak Ingat Anak?”- Jangan Kecam Ibu Bapa Tertinggal Anak Dalam Kereta Sehingga Maut…Cuba Bayangkan Kita Di Tempat Mereka!
Kes ibu bapa tertinggal anak di dalam kereta sehingga maut akibat strok haba bukan lagi isu baru malah Mami Piqah sedar sudah sejak saban tahun dulu lagi ia kian berulang.
Mami Piqah dapat rasakan ia bak mimpi ngeri yang datang secara tiba-tiba sehingga boleh membuatkan ibu bapa ini tersentak dan meratap kesedihan.
Terbaharu, kes yang berlaku bukan ibu bapa tetapi pengasuh pula yang didakwa tertinggal kanak-kanak dalam di dalam kereta kerana lupa anak jagaannya itu berada di tempat duduk belakang.
Luluh hati ibunya apabila mendapat panggilan anaknya yang baru sahaja dihantar ke pengasuh kini sudah terkujur layu tidak bernyawa dan meninggalkannya buat selamanya.
Sebenarnya Mami Piqah tak dapat bayangkan apabila perkara ini berlaku kepada diri sendiri. Ia pasti menjadi perkara yang paling kesal dan ngeri seumur hidup.
Setiap kali isu ini berlaku ramai warga maya yang meluahkan rasa prihatin dan simpati terhadap ibu atau bapa yang bernasib tidak baik itu.
Namun tidak kurang juga yang mengecam dan menyalahkan ibu bapa itu sendiri kerana didakwa lalai sehingga boleh lupa anak yang ditinggalkan di dalam kereta berjam-jam lamanya.
“Tak kan lah tak ingat anak?” kecam netizen.
Mami Piqah cukup takut bila ada yang berani mengeluarkan kata-kata kecaman kepada ibu bapa ini. Adakah mereka sedar mereka juga ada anak? Atau mereka juga bakal ada anak?
Pernahkah mereka terfikir jika perkara sebegini boleh berlaku kepada diri atau keluarga terdekat mereka? Jangan mudah selesa, hidup ini bagaikan putaran roda, hari ini mungkin hari mereka, tapi hari kita belum tahu lagi.
Mami Piqah ada terbaca mengenai satu kajian seorang doktor, kes ini dinamakan ‘Forgotten Baby Syndrome’. Menurut doktor tersebut manusia ada dua jenis memori iaitu Habit Memory dan Prospective Memory.
Habit Memory adalah ingatan pada benda yang jadi rutin atau perkara yang sama setiap hari. Sebagai contoh mungkin selalunya ibu akan menghantar anaknya kepada pengasuh sebelum pergi kerja.
Prospective Memory pula adalah ingatan pada benda yang di luar rutin kita. Contohnya pada hari itu bapa pula yang ambil alih tugas ibu menghantar anak ke pengasuh tetapi dia lupa dan terus ke pejabat tanpa sedar anaknya sedang tidur di belakang.
Menurut doktor itu, Habit Memory ini lagi kuat daripada Prospective Memory sebab benda tu dah jadi rutin, Jadi kalau kena ganggu sikit sahaja Prospective Memory ni akan jadi kacau dan diambil alih oleh Habit Memory. Itu yang menyebabkan ibu bapa boleh lupa sehingga berejam lamanya dan paling teruk seharian lebih-lebih lagi jika hari itu mereka sibuk dengan kerja.
Kesimpulannya Mami Piqah nak cakap di sini, jangan lah kita mengecam atau cuba menyalahkan ibu bapa yang tertinggal anaknya di dalam kereta ini kerana mereka pun tidak mahu ia berlaku. Siapa yang tak sayang anak dan sanggup lakukan sebegitu bukan? Sebaliknya, berilah kata-kata semangat kepada mereka untuk teruskan hidup tanpa anak tersayang.
NOTA: #MamiPiqahCorner merupakan pandangan peribadi penulis dalam membincangkan mengenai isu kekeluargaan serta permasalahan yang sering dihadapi ibu bapa dalam membesarkan anak-anak seiring dengan peredaran dan kemodenan semasa
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live