Filem
“Mampukah Saya Bimbing Tiga Anak Saya Ke Arah Garisan Takdir Yang Paling DiredhaiNya?” – Komen Seorang Ibu Selepas Menonton Dua Garis Biru
Seorang ibu dikenali sebagai Fahrihah Abdul Aziz telah meluahkan kegusaran hatinya selepas menonton filem Dua Garis Biru.
Fahrihah menerusi laman sosial Facebook (FB)nya berkata, sebagai ibu dia melihat kekuatan filem ini bukanlah dari kisah cinta anak muda.
Tetapi menurut ibu kepada tiga orang anak ini, dia melihat filem Dua Garis Biru sebenarnya lebih menekankan tentang peranan, kasih dan cinta sang ibu.
“Sedikit sebanyak, sebagai ibu yang dianugerahkan tiga anak lelaki, jiwa saya terusik.
“Mampukah saya membimbing ketiga-tiga anak ini ke arah garisan takdir yang paling diredhaiNya?
“Anak-anak ini adalah amanah yang boleh menjadi bekalan ke syurga. Namun, kalau tersalah didikannya, ia juga boleh menyebabkan saya tergelincir ke neraka,” tulisnya.
Tambah Fahrihah, naluri keibuannya tersentuh apabila melihat dua watak ibu yang dibawa oleh Cut Mini dan Lulu Tobing meroboh jiwanya.
“Kekuatan dua watak ibu yang menyentuh naluri keibuan saya. Terdapat scene yang meroboh jiwa saya, melihat bagaimana kedua-dua ibu Dara dan Bima tidak membiarkan anak mereka terkapai-kapai.
“Mereka ini dilihat begitu kecewa, tetapi masih mendakap anak yang telah terpalit dosa. Dapat dirasakan dalam jiwa ibu yang berderai, rasa sayang dan cinta mereka terhadap anak tidak mampu dibuang begitu sahaja,” tulisnya lagi.
Dua Garis Biru merupakan filem arahan Gina S. Noer yang dibintangi oleh dua pelakon muda Angga Yunanda (Bima) dan Zara JKT48 (Dara), yang mengisahkan tentang dua pelajar berusia 17 tahun menjalinkan hubungan cinta dan akhirnya terlanjur.
Filem berdurasi 103 minit ini menjentik emosi penonton apabila Dara dan Bima terpaksa melalui beberapa perkara yang tidak pernah dibayangkan oleh remaja berusia 17 tahun.
Selain Zara dan Angga, Dua Garis Biru turut menampilkan nama-nama besar seperti Cut Mini, Dwi Sasono, Lulu Tobing, Arswendy Bening Swara, Rachel Amanda, Maisha Kanna, Shakira Jasmine dan Ligwina Hananto.
Adakah Dara dan Bima mampu mengatasi rintangan selepas bergelar ibu dan bapa disaat masih bergelar pelajar sekolah?
Saksikan Dua Garis Biru di pawagam berhampiran anda sekarang!
Must-Watch Video