Gaya Hidup
"Masa Kecil, Selalu Kena Halau Keluar Dapur Istana!" - Tangan Melecur, Raja Permaisuri Agong Kongsi Kisah Belajar Memasak
Berkongsi cerita dan resepi di Instagram @aritangan_tunkuazizah, Kebawah Duli Yang Maha Mulai Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sering menjadi tumpuan rakyat.
Selain dapat belajar masakan-masakan tradisional dan moden, Tunku Azizah juga sesekali berkongsi pengalaman dan cerita silam yang menjadi pedoman kepada yang membacanya.
Terbaru, Baginda Permaisuri bercerita tentang tangannya yang melecur akibat terkena periuk panas.
"Biasalah kalau kita memasak mestinya terkena periuk panas, atau minyak, terkena pisau / luka atau wap steam. Kalau tidak, bukanlah tukang masak.
"Saya masih ingat masa kecil, selalu kena halau keluar dapur istana! Che Lok, Mak Lamah, Ku Comel dan Kak Cik selalu pok pek kat saya, 'anak raja sila keluar dapur, nanti parut/ bertanda bila bersanding'," tulis Baginda mengingati saat Baginda mula belajar memasak.
Menurut Tunku Azizah, Baginda gemar mengacau tukang-tukang masak yang sedang memasak, jadi Baginda selalu diminta membantu untuk mengupas bawang, mengupas kentang atau memetik taugeh.
"Dari situlah saya belajar memasak. Mereka akan tunjuk kepada saya cara-cara, berkongsi petua dan resepi.
"Dan mereka akan bisik kepada saya, 'jangan ajar adik beradik lain!'. Saya pula rajin bawa buku nota, suka menanya dan tulis resepiresepi. Mereka sayang saya kerana saya suka menolong mereka! I was their fave princess!" tulis Tunku Azizah lagi.
Pelbagai juadah dan resepi yang dikongsikan oleh Baginda Permaisuri dan Tunku Azizah baru sahaja berkongsi resepi Halwa Muskat yang dihasilkan secara tradisional dan mengambil masa lima hari untuk disiapkan.
Must-Watch Video