Pelakon Isyariana menyatakan dia tidak bimbang memikirkan soal jodoh walaupun usianya sudah menjangkau 31 tahun.

Menurut Isyariana atau nama sebenarnya Isyariana Che Azmi berkata topik cinta tidak menjadi fokus utama dalam diri kerana dia lebih mementingkan tanggungjawabnya menyara keluarga.

"Saya sedar semakin berusia, tetapi tidak pernah bimbang belum ditakdirkan bertemu jodoh.

"Bagi saya, lebih baik menunggu insan yang tepat daripada tersalah membuat pilihan.

"Pandangan saya ini bukan disebabkan pernah melalui perhubungan cinta toksik, sebaliknya saya anak sulung dalam keluarga.

"Di atas bahu saya terpikul tanggungjawab besar demi membahagiakan keluarga.

"Jadi, soal cinta jatuh pada kedudukan nombor ketiga atau keempat. Ini bermakna ada perkara yang perlu diberikan keutamaan dalam hidup saya," katanya kepada Gempak.

Isyariana ditemui ketika majlis pelancaran Program Ramadan Astro yang berlangsung di Astro Bukit Jalil, baru-baru ini.

Tambah pelakon yang memiliki wajah persis penyanyi popular Indonesia, Agnes Monica itu akui kadang-kadang dia terlupa untuk memberi tumpuan kepada diri sendiri dek jadual yang sibuk.

"Kerjaya dan keluarga adalah nadi hidup saya. Saya menanggung ibu dan adik tiri, ini menjadi tanggungjawab saya.

"Kadang kala saya terlupa memikirkan soal diri sendiri," katanya lagi.

Terbaharu, bekas peserta program realiti Akademi Fantasia 2016 ini bergandingan dengan aktor Amar Baharin dalam drama bersiri, Hati Yang Dikhianati.

Hati Yang Dikhianati merupakan adaptasi siri telenovela Mis Tres Hermanas yang cukup popular pada tahun 2000.

Isyariana akan membawakan watak Lisa Estrada atau Nur Melissa dalam siri adaptasi itu.

BACA: Jadi Heroin Telenovela Adaptasi Mis Tres Hermanas, "Isyariana, "Tengok Zaman Kanak-Kanak Dulu ..."