Bersyukur kerana negara kita semakin hari semakin baik dalam menangani wabak Covid-19. Mengikut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya 6 kes import yang berlaku semalam dan daripada keseluruhan yang dijangkiti, 97.88% jumlah kes telah sembuh.

Fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sangat penting untuk menggerakkan kembali ekonomi negara, membuka ruang perniagaan, mengembalikan sektor pekerjaan dan banyak lagi.

Namun sangat penting untuk kita terus menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan, tetapi seolah-olah segelintir daripada kita mula leka.

1. MySejahtera


Aplikasi untuk anda mendaftar dan memberi maklumat kepada KKM tentang diri anda. Masih ramai yang tidak memuat naik aplikasi ini, sedangkan ianya amat penting untuk kita berkongsi maklumat tentang kesihatan kita.

Namun aplikasi MySejahtera juga perlu diperbaiki lagi. Sejak menggunakannya pertama kali, tidak ada lagi ruang untuk mencatat suhu jika kita memasuki permis lainnya. Apa yang keluar hanyalah nama tempat dan suhu yang pertama kali diambil.

Mungkin pihak yang berwajib dapat memantau dan memperbaiki lagi fungsi MySejahtera.

2. Alat Pengambil Suhu


Di beberapa tempat membeli belah, pengambilan suhu sangat bagus dengan menggunakan teknologi terkini. Normal baru sebegini perlu dikekalkan sehinggalah vaksin ditemui.

Namun di kebanyakan tempat lainnya, pengambilan suhu menggunakan peralatan yang murah dan tidak menepati piawaian sangat berleluasa.

Ada ketikanya suhu badan sendiri diambil dan ianya langsung tidak tepat kerana di bawah suhu badan di negara kita. 35 darjah selsius dan ke bawah bukanlah suhu normal! Pihak berwajib perlu memantau penggunaan alat suhu yang tidak menepati piawaian ini.

3. Penjarakan Sosial


Hujung minggu lalu ketika ke pusat membeli belah terkenal, langsung tidak ada penjarakan sosial. Selain dipenuhi dengan orang ramai, kedai-kedai di dalamnya juga tidak meletakkan jumlah orang yang boleh memasuki kedai dalam satu-satu masa. Ini sangat berbeza ketika PKPB dahulu.

Anak-anak kecil berlari-larian tanpa kawalan ibu bapa dan menyentuh pelbagai barangan sesuka hati. Menjadi tanggungjawab kita bersama sebenarnya untuk memastikan anak-anak kita terjaga demi keselamatan mereka.

4. Penutup Hidung dan Mulut


Jumlah mereka yang memakai penutup hidung dan mulut juga semakin berkurangan. Benar, jika kita sihat kita tidak perlupun memakainya, tetapi bagaimana dengan orang lain yang mungkin tidak sihat dan tidak tahu bahawa mereka adalah positif dan pembawa virus?

Memakai penutup hidung dan mulut bukan hanya ketika kita berasakan perlu, tetapi ianya dapat menghidari diri kita dan keluarga daripada dijangkiti oleh mereka yang kita tidak ketahui. Apatah lagi keluar di tempat awam seperti pusat membeli belah yang penuh dengan orang ramai.

5. Amalan Normal Baru


Pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) sentiasa menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada semua sebagai ingatan tentang normal-normal baru yang perlu diikuti terutamanya kerap mencuci tangan, jarak sosial, etika batuk dan bersin dengan betul.

Namun daripada pemerhatian ketika keluar baru-baru ini, ada segelintir yang batuk atau bersin tanpa menutup mulut. Lebih teruk, mereka ini juga tidak memakai penutup hidung dan mulut.

Untuk kita memutuskan rantaian wabak Covid-19 bukan terletak kepada pihak Kementerian Kesihatan dan frontliners sahaja, tetapi kita semua harus bertanggungjawab terhadap diri kita, keluarga dan orang yang berdekatan dengan kita.

Perlu diingat, selagi tidak ada vaksin, selagi itulah wabak Covid-19 ini masih bahaya kepada kita semua.

Kita tidak mahu kejadian seperti yang berlaku di Melbourne, Australia, berlaku di negara kita. Sebelum ini negara yang dikatakan berada dalam kelompok negara 'hijau' mengalami peningkatan yang mendadak dan Victoria, Australia, melaksanakan lockdown terbaru selama enam minggu.

Jaga diri, disiplinkan diri dan patuhi SOP ketika di luar. Ingat, kita belum menang!

Nota: Gambar sekadar hiasan.

Kredit Gambar: Google