Pelakon jelita Nora Danish berkongsi antara cabaran yang perlu diharungi sewaktu menjalani penggambaran filem 7 Minggu Sebelum Kahwin.

Menurut Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif, 40, dia mengalami masalah mata merah sepanjang penggambaran berlangsung dan ia kelihatan di dalam filem.

“Mata saya masa tu ada cecair merah keluar, macam darah. Masa tu jadi pada hari pertama dan kedua kami shoot. Saya pun tak tahu benda tu apa sebab bila saya pergi klinik, doktor bagi ubat pun tak membantu.

“Tapi walaupun mata merah ni, shooting tetap kena teruskan sebab dah lock semua jadual artis. Nasib baiklah mata merah ni tak sakit, tak rasa apa-apa.

“Tapi selain daripada itu, pengalaman shooting 7 Minggu Sebelum Kahwin semuanya indah-indah belaka, rakan-rakan pelakon semua easy going, kru pun sangat memudahkan semuanya alhamdulillah okay,” ujarnya kepada Gempak.

Nora ditemui sewaktu majlis sidang media filem 7 Minggu Sebelum Kahwin yang diadakan di Dadi Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur pada awal Julai lalu.

Selain Nora, Filem terbitan KRU Studios ini menampilkan barisan pelakon berbakat seperti MK K-Clique, Alya Iman, Vanessa Reynauld, Ropie, Yassin, Sham Visa dan Azizah Mahzan.

Filem 7 Minggu Sebelum Kahwin mengisahkan Syifa lakonan Nora Danish mengimpikan sebuah perkahwinan yang indah dan meriah sejak dari kecil.

Bertemu dengan kekasihnya, Amar lakonan MK K-Clique di dalam majlis resepsi menguatkan semangat Syifa bahawa perkahwinan ini mestilah ‘PERFECT’.

Namun, pelbagai masalah timbul apabila Syifa obses mahukan majlis perkahwinan yang sempurna. Setiap masalah yang muncul telah menyebabkan kepercayaan dan perasaan cinta mereka luntur.

Kemunculan Natasha lakonan Alya Iman, bekas kekasih Amar pada minggu terakhir perkahwinan mereka telah mencetuskan pergaduhan besar dan memutuskan untuk berpisah.

Mampukan Syifa dan Amar mempertahankan cinta mereka sehingga ke jenjang pelamin?



Tonton filem 7 Minggu Sebelum Kahwin bermula 7 Julai ini di saluran Astro First (480).

Nak tonton banyak lagi movie menarik? Terus je ke pawagam rumah anda, Astro First di saluran 480 untuk lebih banyak filem hebat! Macam-macam movie ada!