Tahun 2022 baru ditinggalkan beberapa hari dan seperti sudah menjadi satu tradisi, pelbagai undian akan dilakukan sebagai satu ‘kenangan’ sepanjang tahun.

Salah satu undian yang masih diteruskan datangnya dari laman sesawang Ranker. Ranker saban tahun membuat undian yang dinamakan Celebrities You’re Sick of … (Selebriti Paling Menjengkelkan…)

Dan untuk tahun 2022, Meghan Markle bersama suaminya, Putera Harry yang telah turun takhta diraja telah dinamakan sebagai selebriti paling menjengkelkan.

Bekas bintang drama bersiri Suits itu telah menerima undian sebanyak 24,201 manakala suaminya diundi 21,492 ‘suara’ dengan keduanya lebih lima peratus daripada 416,000 survei yang dibuat, lapor geo.tv.

Ikut terseret sama adalah hos Oprah Winfrey yang menduduki tangga ketiga lantaran pernah menemu bual pasangan tersebut sehingga menjadi kontroversi kepada dunia.

Selain pasangan ternama ini, Kim Kardashian dan mantan suaminya, Kanye West juga diundi sebagai selebriti menjengkelkan. Kim menduduki tangga ke-10 sementara West berada di tangga kesembilan.

Chrissy Teigen juga tersenarai dalam top 10 selebriti paling menjengkelkan dengan dirinya duduk di tangga ke lapan.

Sementara itu, nama mantan isteri Johnny Depp, Amber Heard juga tercalon dan dipercayai dia diberi label tersebut kerana pergolakan rumah tangga mereka sehingga ‘pertempuran’ di mahkamah pada tahun lalu.

Heard dinamakan sebagai selebriti paling menjengkelkan 2022 dalam turutan keempat.

Kredit Foto: Yahoo, Marie Claire, Getty Images