Memang Gempak! Mechamato Movie Cecah Kutipan RM10 Juta Dalam Masa 6 Hari Tayangan
Filem animasi yang sedang rancak di tayangkan di pawagam ketika ini, Mechamato Movie telah berjaya mengutip sebanyak RM10 juta dalam tempoh enam hari pertama tayangannya di pawagam seluruh negara.
Kutipan ini dilihat amat menggalakkan, malah rata-rata penonton amat teruja dan terhibur dengan aksi serta kelucuan yang dipamerkan dalam filem ini.
Ditambah pula musim cuti sekolah ini, pawagam-pawagam di seluruh negara terus dipenuhi oleh mereka yang hadir sekeluarga tidak kurang juga golongan remaja dan dewasa.
Ketua Pegawai Eksekutif Monsta, Nizam Abd Razak melahirkan rasa syukur selain berterima kasih kepada penonton yang menyokong filem arahannya.
"Alhamdullilah, berkat sokongan rakyat Malaysia, filem ini telah berjaya mengutip RM10 juta dalam masa 6 hari pertama tayangannya di pawagam seluruh negara. Ada kira-kira 150 buah pawagam yang menayangkan filem ini" ujarnya.
Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata meskipun dengan kehadiran filem antarabangsa yang bakal memberi saingan, namun dia percaya Mechamato Movie mampu berada pada kelas tersendiri dengan hasil kualiti filem tersebut yang sangat bagus.
“Alhamdullillah sehingga sekarang kami mendapat banyak maklumbalas yang sangat baik. Saingan seterusnya mungkin agak sengit dengan kehadiran filem antarabangsa. Namun kami percaya dengan kualiti penghasilan, jalan cerita dan keunikan seni warisan dan budaya Malaysia, sudah pastinya Mechamato Movie mampu bersaing," katanya.
Tayangan akan diteruskan lagi sepanjang cuti sekolah ini dan bagi mereka yang bernasib baik, Mechamato akan muncul di pawagam terpilih sepanjang kempen promosi filem ini di seluruh negara.
Nantikan juga kemunculan Mechamato di lokasi-lokasi di Pahang, Terengganu dan Sabah pada hujung minggu ini! Jom serang pawagam sekarang, Mechabot mechanize!