Pelakon Dazrin Kamarudin tampil menegur segelintir pengguna motosikal yang tidak menggunakan topi keledar ketika memandu di jalan raya.

Menerusi sepotong video yang dimuatnaik di TikTok baru-baru ini dipercayai ketika malam ambang sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-65, Dazrin berkongsi gelagat beberapa pengguna motosikal yang tidak bertopi keledar termasuk seorang wanita bersama anak kecil.

"Merdeka merdeka juga kak, bawa anak helmet mana? Allahuakbar, Subhanallah.

"Memang sekarang ni bawa motor tak pakai helmet ker? Memang semua orang bawa motor tak payah pakai helmet ker? Baru ku tahu.

"Ada lesen tak ada lesen ni?" tegur Dazrin.

Aksi berisiko yang dikongsikan Dazrin itu mendapat perhatian warganet yang menyifatkan ia satu langkah yang menyalahi undang-undang dan membahayakan diri sendiri.

"Kerajaan longgarkan undang-undang tak payah pakai mask masa keluar, bukan tak payah pakai helmet.

"Jenis tak sayang nyawa macam nilah bang, bila dah jadi baru nak menyesal.

"Ni bukan setakat keras kepala, hati pun keras," demikian coret beberapa pengguna di media sosial.

Malah, pada masa sama ada yang menegur semula tindakan Dazrin berkongsi video berkenaan, menyarankan pelakon itu turun menasihati mereka.

"Jadi video ini rekod untuk apa? Kalau betul nak menasihati, turun kereta," tulis seorang pengguna di Instagramnya.