Penyanyi Naim Daniel meluahkan rasa sedihnya dengan nasib malang yang menimpa rakyat Palestin menerusi satu dedikasi khas.

Menerusi laman sosial Instagram, Naim berkongsi beberapa keping foto keadaan masyarakat di sana beserta kata-kata kecaman buat kekejaman Zionis.

“Wahai tentera haram, bersenanglah kalian di atas air mata ibu dan anak ini. Menarilah kalian di atas mayat ayah yang memeluk bayi.

“Ketawalah kalian di atas penderitaan anak-anak ini. Berdendanglah kalian di rumah yang dicerobohi. Sedang ramai kami di sini akan terus merayu dan merayu dikhaskan buat kalian neraka panas yang janjinya pasti.

“Wahai tentera haram, bersenanglah. Menarilah. Ketawalah. Berdendanglah. Menang kalian ini adalah menang yang sebangsatnya. Dan hanya di dunia sahaja,” tulis Naim di ruangan kapsyen.

Selain di kapsyen, Naim turut dilihat menukar gambar profil Instagramnya dengan benda Palestin.

Sementara itu di ruangan komen, ia telah membuka ruang bagi rakyat Malaysia untuk memberikan kata-kata semangat, doa serta harapan buat rakyat Palestin yang ditindas.

“Sakitnya hati tengok. Zalim dan kejamnya diorang ni. Ya Allah turunkanlah bala kepada merek ni,” komen seorang wargamaya.

“Kuatnya iman saudara kita,” tulis seorang wargamaya.

“We stand with you Palestin and Al-Aqsa,” sokong seorang wargamaya.

“Israel ni dengan budak kecil pun nak pakai senapang. Ya Allah peliharalah saudara seislam kami, ameen,” doa seorang wargamaya.

“Part gambar ibu dan anak tu terus menitik air mata, allahuakbar,” ujar seorang wargamaya lagi.

Minggu lalu, pertempuran meletus ketika umat Islam bersiap di pekarangan Al-Aqsa bagi menunaikan solat Jumaat terakhir Ramadan.

Rakyat Palestin memprotes larangan Israel terhadap akses ke beberapa bahagian di Kota Lama ketika Ramadan.

Selain itu, pihak berkuasa mengarahkan beberapa keluarga Palestin meninggalkan rumah mereka bagi memberi jalan untuk penduduk Israel.