Kerajaan Johor secara rasmi mengumumkan Ahad, 11 September sebagai cuti khas peristiwa, sempena kejayaan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) menjuarai Piala FA 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azmi Rohani dalam satu kenyataan berkata pemberian cuti khas peristiwa itu, sebagai tanda meraikan dan memberikan penghargaan kepada semua penyokong pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), yang telah memberikan sepenuh komitmen dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pasukan JDT, dalam mengharumkan nama Negeri Johor Darul Ta'zim.

"Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta'zim, dengan ini Kerajaan Negeri Johor memutuskan untuk mengisytiharkan hari Ahad, 11 September 2022, sebagai hari Cuti Khas Peristiwa bagi seluruh rakyat Negeri Johor, sempena kejayaan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) menjuarai Piala FA Malaysia 2022.

"Keputusan pengisytiharan Cuti Khas Peristiwa ini adalah selaras dengan peruntukan kuasa yangdiberikan di bawah Seksyen 9(1) Akta Hari Kelepasan Am 1951 [Akta 369]," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada sebentar tadi, JDT melakar kemenangan dengan menundukkan Terengganu (TFC), 3-1.

Sementara itu, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi satu hantaran di laman facebooknya turut mengumumkan esok sebagai cuti khas peristiwa Johor.

"Syukur Alhamdulillah di atas kejayaan JDT merangkul Piala FA 2022 menentang Terengganu FC, dengan jaringan gol 3-1.

"Bagi meraikan kemenangan ini, kerajaan negeri berbesar hati mengumumkan hari Ahad, 11 September 2022 sebagai cuti peristiwa untuk Johor.

"Ini sebagai tanda penghargaan di atas sokongan padu yang sentiasa diberi oleh penyokong skuad Harimau Selatan. Terima kasih juga kepada mereka yang turut hadir memberikan sokongan kepada JDT di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi," katanya menerusi hantaran tersebut.

Sumber - BERNAMA