Selepas kejayaan tiga lagu mendomonasi carta radio, FMC Music sekali lagi mencipta fenomena dengan merakamkan kembali lagu berhantu yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Achik dan kumpulan Spin,Mengusung Rindu.

Uniknya kali ini, Mengusung Rindu menampilkan versi orkestra dengan gabungan empat vokalis lelaki hebat iaitu Haqiem Rusli, Afieq Shazwan, Tajul dan Zack Zakwan.

Kata Pengarah Urusan FMC Music, C.F Ho, pihaknya sengaja mencipta kelainan supaya karya yang pernah popular itu mendapat sentuhan lain dari sebelumnya.

Haqiem Rusli terbuka bereksperimentasi

Tambah Haqiem Rusli pula, dia sentiasa terbuka untuk bereksperimentasi dengan kelainan dalam projek khas ini.

"Saya suka mencuba sesuatu yang baru, eksperimentasi yang di lakukan di dalam lagu ini membuatkan saya sangat teruja. Tambahan apabila melibatkan gabungan empat penyanyi lelaki yang masing-masing mempunyai karakter suara yang berbeza.

Bagi Afieq Shazwan pula, gabungan empat penyanyi dengan muzik yang diubah semula kali ini merupakan kelainan luar biasa.

"Saya rasa ini seperti projek mega apabila muzik lagu ini diorkestrakan dan disampaikan dalam gabungan empat vokal, ia bukan biasa biasa.

"Sebelum ini saya sampaikan Layu Di Hujung Mekar secara solo dan Malam Semakin Dingin berduet dengan Tajul sahaja, tetapi kali ini melibatkan gabungan yang luar biasa. Tambah teruja bila dapat tahu Haqiem mahu terlibat sama dalam Mengusung Rindu versi 2022 ini," ujarnya.

Semangat Achik dalam Mengusung Rindu 2022

Sementara itu, bagi Tajul, dia merasakan seolah-olah semangat abangnya, Allahyarham Achik kembali bersama mereka ketika membikin lagu Mengusung Rindu 2022.

"Saya rasa bangga bila tiga orang lagi rakan saya sudi menyanyikan kembali lagu abang saya. Saya rasa seolah olah semangat Achik sentiasa ada bersama kami sewaktu pembikinan lagu ini. Terima kasih Haqiem, Afieq dan Zack kerana mewarnai Mengusung Rindu ini dengan cara kalian tersendiri," kata Tajul.

Pendatang baharu arena seni suara, Zack Zakwan juga akui teruja dengan projek kolaborasi ini.

"Tidak dinafikan saya rasa tidak percaya apabila diberi kepercayaan oleh FMC Music untuk turut bergabung dalam projek ini. Awalnya saya rasa terlalu kerdil untuk berasa sepentas bersama Haqiem Rusli, Afieq dan tajul.

"Tetapi setelah proses rakaman dan muzik video siap, saya rasa lebih yakin kerana semangat dan kerjasama serta galakan yang mereka bertiga berikan pada saya membuat saya jadi kuat bertambah yakin," ujarnya.

Mengusung Rindu mencatatkan jumlah tontonan tinggi yang cepat. Dalam masa 4 hari jumlah tontonan telah mencecah lebih 1 juta penonton selain maklum balas positif di media sosial.