Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri menasihatkan usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamarzzaman menyerah diri.

Waran tangkap telah dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kepada Muhammad Sajjad atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat, bulan lepas.

Dr Zulkifli berkata isu itu sebenarnya boleh diselesaikan secara baik tanpa menjadikan keadaan lebih tegang.

"Saya ingin menasihatkan saudara Sajat supaya berjumpa dengan pegawai JAIS, dan selesaikan isu ini secara baik, supaya keadaan tidak menjadi lebih tegang, dan saya sudah berbincang dengan pegawai-pegawai JAIS mengenai isu ini, apa yang saya lihat tindakan oleh JAIS adalah sesuai dengan keadaan," katanya.

Dr Zulkifli berkata Sajat juga tidak seharusnya mengungkapkan kata-kata seolah-olah berhasrat untuk keluar dari agama Islam.

"Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menggerakkan satu jawatankuasa hal ehwal agama atau Jawatankuasa Pemandu bagi menangani isu atau aktiviti yang berkaitan dengan penyelewengan ajaran Islam," katanya.

Januari lepas Nur Sajat tidak mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan menyebabkan agama Islam dipandang hina dengan cara dirinya seorang lelaki yang berpakaian menyerupai wanita selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Syarie Mohamad Khalid Shaee @ Shaii.

Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam kemudiannya mengeluarkan waran tangkap terhadap usahawan kosmetik berumur 36 tahun itu selepas dia tidak hadir semasa sebutan semula kes berkenan, bulan lepas.

Sumber: BERNAMA