Pelakon Hafeez Mikail mengakui pernah menjadi penyanyi di jalanan kerana ingin mencari pengalaman sebagai penghibur.

Hafeez atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Muhammad Zaki, 25, berkata, perkara yang dilakukan itu ternyata mengundang kritikan peminat dan ada diantara mereka menyangka dia sudah tiada tawaran lakonan.

"Saya pernah terlibat dengan menyertai satu group busker pada awal tahun lalu dan bermain muzik di Bukit Bintang.

"Ada peminat yang datang tegur dan menyangka saya sudah tiada tawaran berlakon sehingga perlu menyanyi di jalanan untuk mencari pendapatan.

"Ternyata apa yang dilakukan oleh saya itu adalah untuk mencari pengalaman untuk menghidupkan watak dalam filem Busker.

"Nampaknya apa yang dilakukan oleh saya itu ternyata memudahkan saya untuk mendalami jiwa sebagai seorang pemuzik jalanan," katanya kepada Astro Gempak.

Hafeez berkata demikian ketika ditemui pada majlis Pelancaran Filem Busker, di Bentley Music, Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Selain Hafeez, filem Busker turut dibintangi oleh Daiyan Trisha, Anas Ridzuan, Bulan dan Mas Khan.

Filem arahan Syed Khairul Fariz ini bakal ditayangkan dipawagam bermula 11 Januari 2018.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi