Gaya Hidup
Menyelerakan! 'Air Tangan' Chef Wan Jadi Pilihan Tun M Jamu Jokowi
Hidangan istimewa hasil 'air tangan' chef terkemuka negara Datuk Redzuawan Ismail atau dikenali sebagai Chef Wan menjadi pilihan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk dijamu kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo dan isteri, Iriana Joko Widodo.
Menurut laporan Astro Awani, hidangan nasi telur Terengganu, nasi kuning, kambing bakar, gulai lemak udang dan ayam percik antara menu menyelerakan yang menjadi pilihan Dr Mahathir bagi majlis jamuan makan tengah hari yang dihoskan beliau serta isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali
Turut dihidangkan sebagai pembuka selera adalah cucur udang, tauhu goreng, kerabu pucuk paku, kerabu urap nangka selain dua jenis pencuci mulut iaitu bubur som som dan bubur pulut hitam.
Difahamkan, kedua-dua pemimpin kemudian ke Masjid Putra bagi menunaikan solat Jumaat dengan menaiki Proton Persona yang dipandu Dr Mahathir atau turut dikenali sebagai Tun M.
Dalam pada itu, jangan lepaskan peluang untuk menonton satu temu bual khas bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo menerusi program ‘Eksklusif Bersama Bapak Jokowi bersama Astro AWANI’.
Anda berpeluang menyaksikan pengarang dan personaliti Astro AWANI, Ashwad Ismail dan Rizal Zulkapli mendekati dan mendalami sisi berbeza pemimpin berusia 58 tahun ini yang lebih mesra dengan panggilan Jokowi.
Tidak cukup dengan itu, kru Astro AWANI turut sama menyertai tinjauan secara santai yang berlangsung di pusat membeli-belah, Thamrin di Jakarta.
Dalam temu bual eksklusif itu, Jokowi secara terbuka berkongsi strategi penggal kedua menerajui negara terbesar di Asia Tenggara serta pandangannya terhadap hubungan dengan Malaysia, ASEAN dan di persada antarabangsa.
Jadi jangan lupa temu janji kita untuk menyaksikanan Eksklusif Bersama Bapak Jokowi hari ini pada jam 8.30 malam di Astro AWANI (Saluran 501) dan Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (Saluran 123).
Must-Watch Video