Berita
Miliki Sepucuk Pistol & 32 Peluru, Juruhebah Radio Popular Ditahan Polis
Seorang juruhebah radio ditahan polis bersama sepucuk pistol dan 32 peluru dalam satu pemeriksaan Ops Cantas di KM28, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, semalam.
Lelaki berusia 47 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput kira-kira jam 8.30 pagi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, suspek yang menaiki Toyota Wish itu ditahan selepas didapati menggunakan lampu 'beacon' yang mencurigakan.
"Pemeriksaan terhadap pemandu mendapati dipinggangnya ada sepucuk pistol semi auto jenama walther bersama satu kelopak berisi tujuh butir peluru hidup.
"Pemeriksaan lanjut dalam kereta menemui satu beg sandang yang diletakkan di tempat duduk penumpang hadapan yang mengandungi satu kelopak lagi bersama 25 peluru 9mm," katanya.
Menurutnya, suspek dibawa ke IPD Sungai Siput untuk tindakan lanjut.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 iaitu memiliki pistol tanpa lesen dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 iaitu memiliki peluru.
"Siasatan masih dijalankan untuk mengetahui motif suspek memiliki senjata itu," katanya.
Sumber: Sinar Harian
Foto: Kosmo!
Must-Watch Video