Laman Utama
Miliki Suara Jantan Sejati, Penyanyi Baru Fariz Kamil Minat M. Nasir
Fariz Kamil merupakan nama baharu dalam industri nyanyian tanah air.
Anak jati Kuala Lumpur berusia 29 tahun itu meminati muzik bergenre balada dan pop selain mempunyai visi dan misi tersendiri untuk melangkahkan kaki ke dalam dunia nyanyian tanah air.
"Saya mempunyai visi tersendiri iaitu ingin mengembalikan style crooner ala lagu-lagu nostalgia yang tidak lapuk ditelan zaman dengan misi mengekalkan lagu konsep pop balada supaya menjadi malar segar seperti penyanyi terdahulu," ujarnya yang mengidolakan Art Fazil dan Datuk M.Nasir.
Oleh itu, Fariz kini muncul dengan lagu berjudul Terluka yang menjadi single perdana nyanyiannya.
Jejaka bersuara jantan ini merupakan penyanyi terbaru syarikat rakaman Moro Records. Lagu berkonsep pop balada ini merupakan hasil ciptaan artis dan komposer serta produser terkenal Singapura, Art Fazil.
Menurut Art Fazil, dia mempunyai sebab tersendiri untuk menghasilkan sekaligus menerbitkan lagu untuk Fariz.
"Saya memilih Fariz kerana suaranya yang unik. Tidak ramai artis iaitu penyanyi baru masa kini yang mempunyai suara jantan.
"Kami sengaja merakam Fariz dan melawan arus masa kini kerana dia mempunyai potensi besar untuk menjadi suara terkenal di Nusantara.
"Saya meminati penyanyi lagenda Indonesia, Broery Marantika dan saya melihat suara Fariz ada potensi untuk menyanyikan lagu lagu ala crooner dengan baik seperti Broery,"ujar Art.
Lagu ini mengisahkan tentang kedukaan yang dialami seseorang yang ditinggalkan kekasihnya.
Menariknya tentang pembikinan lagu ini kerana mendapat hasil air tangan nama-nama besar dalam industri muzik tanah air antaranya Eddie Marzuki, Addy Cradle dan Ujang Exist.
Must-Watch Video