Buat pertama kali, pelakon Mimi Lana memegang watak utama sebagai Diyana dalam drama bergenre komedi iaitu First Wives terbitan Astro Shaw.

Menurut Mimi, dia tidak menyangkakan dirinya mampu untuk membuatkan orang ketawa dan berharap akan dapat tawaran untuk berlakon dalam genre yang sama lagi.

“Sebenarnya, saya pun tak tahu… sebab bila saya berlakon itu macam semua orang ketawa. Terfikir ‘lawak juga aku ini sebenarnya’. Mungkin saya terlalu banyak buat drama genre serius.

“Ini kali pertama saya pegang watak utama untuk genre komedi dan saya rasa sangat enjoy. Team semua pun sangat membantu. Saya rasa macam lepas ini nak buat komedi saja, tak payah stres.

“Ikutkan sebelum ini, saya takut nak bawa komedi sebab saya tak rasa diri saya ini boleh buat orang ketawa,” kata Mimi kepada Gempak.

Mimi ditemui sebelum mula penggambaran drama siri Astro Original terbitan Astro Shaw berjudul First Wives di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Isnin.

Mahu Cuba Pelbagai Watak

Dalam pada itu, Mimi turut memberitahu dia mahu mencuba pelbagai karekter kerana tidak mahu hanya dikenali dengan watak yang sama sahaja.

“Perjalanan saya jauh lagi… ada beberapa saja projek dan masih lagi nak explore. Saya cuba untuk jadi versatile. Sebab makin lama, kita nak bawa macam-macam karekter.

“Supaya orang tak rasa macam kita asyik bawa watak sama saja. Saya selalu sebagai manusia, nak cuba benda baharu. Jadi, Alhamdulillah saya dapat tawaran ini,” ujarnya.

Drama terbitan Astro Shaw itu turut menampilkan pelakon lain seperti Malek McCrone, Melissa Campbell, Charles Roberts, Carmen Soo dan Andy Teh.

BERITA TRENDING: Mimi Lana Lalui Fasa Kesedihan Disebabkan Majlis Kahwin Batal - “Saya Bersyukur Allah Beri Macam-Macam Jenis Perasaan”

BERITA TRENDING: "Putus Cinta Itu Rasa Sakitnya Seakan Waktu Berhenti" - Mimi Lana