Pelakon popular, Mira Filzah berkongsi mengenai harapan dan impian yang mahu digapai dalam tahun baru 2021 ini.

Menurut Mira, dia paling mengharapkan pandemik COVID-19 terhapus segera, bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh dunia.

"Untuk tahun 2021, apa yang paling saya harapkan, semoga wabak COVID-19 beransur pulih, bukan untuk negara kita sahaja tetapi untuk seluruh dunia.

"Saya sejak awal perkahwinan, kalau boleh mahu melancong ke luar negara, tetapi kalau keadaan masih tak mengizinkan, saya teruskan kehidupan seperti biasa dengan jadual penggambaran dan sebagainya," katanya kepada Gempak.

Mira berkata demikian ketika ditemui di lokasi penggambaran drama The Maid di Cyberjaya baru-baru ini.

Dari segi kerjaya pula, Mira mengharapkan ada peningkatan dan mahukan pembaharuan.

"Bercakap mengenai karier pula, sudah tentu saya mahu peningkatan dan cuba watak yang berbeza.

"Apapun watak, ia sebenarnya bergantung kepada naskah, naskah itulah yang menentukan kekuatan sesuatu watak.

"Jadi, saya berharap akan menerima naskah dan pengarah yang baik dalam tahun baru ini," katanya lagi.

Selain Mira, The Maid yang akan menemui anda di Astro Ria ini turut dibintangi oleh Norman Hakim, Sherry Alhadad, Datin Paduka Eina Azman, Ezzaty Abdullah dan ramai lagi.

Drama original Gempak ini akan menemui penonton bermula 6 Januari ini setiap Rabu jam 9.30 malam.

Sama-sama kita nantikan!