Selepas hampir seminggu hilang, mayat disyaki pelakon siri televisyen popular Glee, Naya Rivera akhirnya ditemui terapung di dalam Tasik Piru, Selatan California, Amerika Syarikat.

BACA: Hilang Selepas Berenang, Pelakon Glee Disyaki Lemas

Penemuan mayat itu sekali gus menjawab segala misteri selepas kehilangan Naya, 33, pada Rabu lalu ketika berenang di tasik berkenaan.

Pasukan penyelam menggunakan peralatan sonar untuk meneruskan pencarian Rivera dalam tasik tersebut sejak Isnin selain bantuan helikopter dan anjing pengesan.

"Apabila berdepan situasi sebegini, amatlah sukar untuk setiap individu yang terlibat.

"Saya tidak boleh bayangkan perasaan keluarga mangsa," kata ketua pasukan penyelamat, Kapten Eric Buschow kepada media tempatan.

Terdahulu, Rivera hilang selepas keluar berenang bersendirian meninggalkan anak lelakinya yang berusia 4 tahun, Josey Hollis Dorsey, di dalam bot.



Rivera popular menerusi watak Santana Lopez dalam Glee sekitar tahun 2009 hingga 2015 dan pernah muncul dalam sitkom The Royal Family serta membintangi filem The Master of Disguise.



Pada 2014, Rivera berkahwin dengan pelakon Ryan Dorsey namun bercerai pada 2018.

Sumber: CNN, BBC