Watch

Mitsubishi Evo V Coupe?

gempak
Public Anonymous User
18/04/2018
06:14 MYT
Sponsor Banner
Mitsubishi Evo V Coupe?
Pasti anda tertanya-tanya, adakah Mitsubishi Evo Coupe wujud yang seperti dipaparkan dalam artikel modifikasi drebar.my kali ini.
Jika dilihat gambar ini, ia memang sangat sesuai digelar Mitsubishi Evo Coupe selepas menggunakan komponen badan Mitsubishi Evo V (5) secara keseluruhannya.
Tetapi bagaimana pula datangnya bentuk coupe ini, adakah ia model asal atau sudah menjalani modifikasi ekstrem yang mana mengubah dari empat kepada dua pintu.
Jawapannya, jentera ini sebenarnya adalah model Mitsubishi Lancer Coupe atau Mirage ZR. Di Malaysia, model ini sebenarnya sangat sukar ditemui berbanding Mitsubishi Lancer sedan dengan pintu empat.
Malah jentera keluaran pada 2003 itu sebelum ini dijana dengan enjin 1,800cc.
Pada masa sama, ramai juga yang menyangka ia adalah Proton Putra yang dimodifikasi secara ‘hardcore’ kepada Mitsubishi Evo V.
Selain itu, jentera ini menjalani ubah suai yang mengenakan konsep Mitsubishi Euro Rally Edition. Pemilihan konsep itu adalah mahu mencari kelainan dari konsep Tommi Makinen Edition (TME) yang menjadi pilihan ramai peminat Mitsubishi Evo V dan VI.
Dari pandangan luarannya, keseluruhan komponen badan dari bampar depan dan belakang ditukar kepada Mitsubishi Evo V, selain dilengkapi spoiler dari model yang sama.
Bagi membuatkan ia lebih menarik, ia dibaluti dengan pelekat badan Mitsubishi Evo V Euro Rally Edition yang mana badannya dicat warna merah.
‘Kejelitaannya’ juga makin terserlah dengan penggunaan rim Enkei RP01 yang dibaluti tayar Faderal 595 serta padanan cermin sisi guna komponen daripada Ganador.
Jika menjengah di bahagian dalaman pula, ternyata ubah suainya dibuat pada kereta ini memang pada tahap terbaik dan cukup kemas.
Papan pemuka ditukar dengan komponen Mitsubishi Evo V yang mana meter kelajuan menggunakan edisi terhad Ralliart.
Malah papan pemuka kelihatan padat dengan meter Defi tiga beradik, RSM, meter Ralliart, serta tampak unik selepas menggunakan stereng OMP Ralliart edisi empat kali kejuaraan.
Ruang itu diperkemaskan suasana hitam yang dilengkapi kerusi bucket Recaro Mitsubishi Evo VI TME Ralliart serta guna pelapik kaki Ralliart.
Berkongsi berhubung prestasinya. Bawah bonet hadapannya ditukar kepada rangkaian kuasa Mitsubishi Evo V tetapi turut dinaik taraf dengan omboh Mitsubishi Evo VIII yang dilengkapi Hi Cam Tomei serta turbo TD06.
Komponen lain yang boleh dilihat membabitkan intercooler, wastegate Tial, blow-off Turbosmart.
Jadi kuasa yang mantap dari enjin itu akan disalurkan ke kotak gear Mitsubishi Evo 6.5 TME melalui klac kepingan berkembar jenama Ogura.
Bagi meningkatkan lagi prestasinya, sistem ekzos dinaik taraf kepada saluran tiga inci serta menggunakan peredam Ralliart yang mana jentera itu mampu menyalurkan 334.8hp.
>>Klik untuk galeri gambar jentera ini
Kuasa hentian juga tidak ketinggalan apabila menggunakan brek kaliper 4 pot AP Racing di bahagian hadapan, manakala belakang Brembo 2 pot yang diambil dari model Mitsubishi Evo VII.
Jika tanya berapa lama untuk menyiapkannya, ia mengambil masa lima bulan dengan memerlukan belanja kurang RM15,000.
Baca juga:
>>Mitsubishi Evolution VIII sentuhan Evo Shop Bangkok.
>>Mitsubihsi Lancer ubah suai ke Evo III.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024