Minggu suku akhir Maharaja Lawak Mega (MLM) 2021 malam tadi menyaksikan tiada penyingkiran berlaku sekaligus melayakkan semua kumpulan pusingan seterusnya.

Menerusi dua persembahan malam tadi, Kumpulan Tobat merupakan peserta paling menyerlah apabila berada di tempat pertama dan memperoleh Anugerah Lawak Pedas Tak Ingat dan membawa pulang wang tunai RM1,000 dan produk Adabi bernilai RM500.

Kumpulan Tobat juga telah menerima standing ovation pertama daripada juri, Noh Salleh dan memperoleh 5 Ha.

“Malam ni Tobat memang stand out all the way dan hari ni memang dorang dasyat semacam. Persembahan mereka seimbang,” katanya sambil menekan butang Ha.

Dalam pusingan kedua bersama tetamu jemputan, Tobat telah menampilkan PU Ritz sekali lagi mendapat 5 Ha daripada juri.

Sketsa sempurna daripada Tobat mendapat pujian Datuk Rosyam Nor kerana moral yang disampaikan menepati tema.

“Terima kasih Tobat kerana menghiburkan kami dan moral cerita yang bagus. Memang pernah berlaku di Malaysia perkara-perkara yang macam tu dan kita nampak.

“Jangan kita ukur orang daripada pakaiannya tetapi kita tengok orang daripada dalamannya. Itu yang paling penting.

“Apa pun anda telah menghiburkan kami di dalam peringkat suku akhir ini dan saya juga berharap anda antara kumpulan yang akan melangkahkan kaki peringkat separuh akhir. Tahniah!,” kata Rosyam.

A post shared by Zon Lawak (@zonlawak)


Dalam pada itu, kumpulan Otai menarik nafas lega selepas juri mengumumkan tiada penyingkiran berlaku pada minggu kelapan, sekaligus layak melangkahkan kaki ke peringkat separuh akhir minggu hadapan.

Ini markah penuh setiap kumpulan di minggu kelapan MLM 2021, malam tadi:

Tobat: 68.47%
Tiro: 65/92%
Boro: 62.38%
Bahye: 60.27%
Puteh: 54.59%
Otai: 46.58%


Minggu separuh akhir, setiap kumpulan perlu menyelesaikan dua cabaran dan menyediakan sketsa bertemakan:

1. ENTITI PROPS – KONTI RADIO Entiti - konti radio – peserta dikehendaki membuat sketsa menggunakan konti radio yang disediakan. Peserta boleh meminta props tambahan lain juga tapi wajib menggunakan konti radio yang disediakan.

2. BERSAMA ARTIS JEMPUTAN BERTEMAKAN HOBI - Peserta dikehendaki membuat sketsa bertemakan hobi bersama artis Jemputan – pelawak, pelakon komedi atau artis berkaitan lawak.

MLM 2021 dibawakan secara langsung setiap Jumaat, 9 malam ditayangkan eksklusif di Astro Warna (saluran 107) dan untuk pilihan lebih fleksibel, ia boleh distrim melalui platform Astro GO dan On Demand.

Dalam pada itu, penyampai radio SINAR, Dina Nadzir bertindak sebagai pengacara ‘Backstage MLM 2021’, edisi sisipan di belakang pentas atau di sebalik tabir MLM 2021.

Manakala penyampai radio GEGAR, Issey Fazlisham dan penyanyi baharu kacukan Malaysia-Filipina, Yazmin Aziz memegang peranan sebagai pengacara program Live Plus (Live +).