Pelawak, Tauke terkilan apabila namanya dikaitkan dengan kes pemerdangangan manusia seperti yang dilaporkan media hari ini.

Tauke ketika dihubungi Gempak berkata, dia terkilan kerana namanya disebut netizen sebagai suspek yang ditahan untuk membantu siasatan.

“Nak buat macam mana, orang ni dia punya mulut memang kita tak boleh nak tahan. Takkan kita nak cincang tangan dia supaya jangan tulis macam-macam.

“Hak diaorang nak taip apa pun. Kita reda je lah, nak buat macam mana. Saya pun tak tahu nak komen macam mana.

“Bila berita tu keluar, saya perasan juga tiba-tiba netizen sebut-sebut nama saya,” katanya terkilan.

Bagaimanapun kata Tauke dia tidak bercadang untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang telah mengaitkannya dengan kes jenayah terbabit.

“Tak apalah, biar…,” jawabnya ringkas.

Terdahulu media melaporkan seorang pelawak terkenal ditahan di sebuah hotel di Kuala Pilah pada Ahad lalu bagi membantu siasatan kes pemerdagangan manusia.

Pelawak lelaki berusia 40-an itu ditahan dalam serbuan Ops Pintas dilakukan jam 10 pagi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kuala Pilah selepas hasil maklumat dan risikan pihaknya.

Sehubungan itu, polis telah berjaya menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau daripada menjadi mangsa pemerdagangan orang bagi tujuan eksploitasi seks.

[[BACA: Turut Dirampas Bungkusan Kondom - Pelawak 40-an Ditahan Pemerdagangan Manusia]]