Laman Utama
“Mungkin Pandang Telefon Bimbit Terlalu Lama” - Riezman Khuzaimi Dedah Kemungkinan Punca Alami Slip Disc
Gara-gara diserang masalah slip disc sejak April lalu, pelakon Riezman Khuzaimi terpaksa bergantung pada penggunaan pendakap leher bagi memudahkan rutin harian.
Pelakon berusia 53 tahun itu berkata, dia mula menyedari mengenai masalah berkenaan selepas dia berasa sakit secara tiba-tiba pada bahagian tengkuk ketika mahu bangun bersahur pada bulan puasa lalu.
“Ketika itu baru seminggu berpuasa. Sewaktu bangun sahur, tiba-tiba tangan sebelah kanan ni tak boleh nak gerak. Saya pun tak rasa apa-apa pada tangan.
“Ingatkan sakit saraf sahaja, jadi saya pergi ke klinik. Lepas lakukan rawatan dan pemeriksaan lanjut, baru saya disahkan mengalami slip disc,” katanya kepada Gempak.
Riezman berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Goyang Asia Koplo Milenia yang berlangsung di Petaling Jaya semalam.
Dalam pada itu, antara penyebab kepada terjadinya masalah tersebut adalah berkemungkinan disebabkan oleh aktiviti harian iaitu selalu menghadap skrim komputer dan telefon pintar.
Tambah aktor ini dia juga dinasihati tidak melakukan pembedahan kerana boleh membahayakan nyawa jika berbuat demikian.
“Saya selalu menunduk, tengok telefon dan komputer. Mungkin disebabkan rutin berkenaan saya diserang masalah ini.
“Disebabkan rasa sakit pada bahagian tengkuk, doktor tak nasihatkan untuk buat pembedahan. Sebab hanya 50-50 boleh sembuh jika saya memilih untuk lakukan pembedahan. Ia juga boleh mengancam nyawa.
“Buat masa ini, saya lakukan fisioterapi sahaja. Masalah ini boleh pulih, tapi bila-bila masa sahaja ia boleh kembali,” katanya lagi.
Riezman menambah, masalah berkenaan turut mengganggu emosi sehingga menyebabkan dia sering merasa mahu marah.
Kongsinya, dia kini tidak lagi boleh melakukan hobi masa lapang seperti menunggang motosikal.
Must-Watch Video