Mengejutkan! Mungkin itu antara reaksi peminat apabila mengetahui penyanyi rock Bandi Amuk, 57, kemungkinan besar akan membuka topengnya tidak lama lagi.

Akui imej bertopeng itu sangat sebati dengan dirinya, Bandi atau nama sebenarnya, Nasabandi Jumat walau bagaimanapun mahu bersikap lebih realistik.

“Bukan berjanji, tetapi InsyaAllah, seandainya saya berjaya mara ke peringkat akhir atau berada di tangga teratas dalam pertandingan Gegar Vaganza musim ke-8 (GV8), kemungkinan saya akan buka topeng.

“Sebenarnya, ada yang pernah tahu siapa saya. Sebelum ini pun pernah buka topeng.

‘Cuma tidak untuk program-program siaran langsung atau depan umum. Tapi, jika ada rezeki Allah SWT kurniakan saya untuk mara ke peringkat akhir GV8, InsyaAllah saya akan buka.

“Tak nak terlalu berharap jadi juara. Kalau ada, kira bonus. Dalam umur begini, saya akui banyak benda yang menyekat diri dan karier untuk berkembang,”katanya.

Tambah Bandi, biarpun bercadang untuk membuka topeng, namun jauh dari sudut hati dia sangat menyayangi imej berkenaan.

“Tapi disebabkan topeng, ada banyak perkara yang membuatkan saya terpaksa tolak.

“Ada orang pernah hadir dengan tawaran berlakon buat drama, teater sebelum ini.

“Sebab itulah rasanya dengan usia sekarang, sudah tiba masanya untuk saya buka topeng ini.

“Bukan sebab sudah penat, tetapi ini demi membuka lebih banyak peluang lain dalam bidang seni ini untuk saya,” katanya.

Bandi berkata demikian ketika konsert minggu pertama GV8 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad lalu.

BACA: Tiada Penyingkiran Konsert Pertama GV8! Aliff Aziz Raih Markah Tertinggi Manakala Datuk Fazley….

Untuk rekod, juara GV8 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 serta trofi manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang RM50,000 dan RM30,000 termasuk trofi.

Untuk pemenang tempat keempat, kelima dan keenam pula masing-masing akan menerima hadiah berupa wang tunai bernilai RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 serta trofi.

Penerbitan GV8 turut disokong oleh Farm Fresh yang hadir selaku Penaja Utama dengan kerjasama Digi selaku Telco Rasmi.

Manakala Adabi dan CUCKOO turut menghulurkan sokongan selaku penaja bersama.