Penyanyi kelahiran Akademi Fantasia, Marsha Milan dan Velvet Aduk menunaikan janji selepas muzik video single duet mereka, Sumandak Sabah mencecah satu juta tontonan di laman YouTube.

"Alhamdulillah, muzik Video lagu Sumandak Sabah telah mencecah satu juta tontonan di laman YouTube sejak dilancarkan pada 18 Mei yang lalu.

"Seperti yang telah kami janjikan di laman Instagram masing-masing, video karaoke dengan ‘minus one original’ bakal dilancarkan di saluran YouTube Bornaya Records. Lagu ciptaan Rich dari Kumpulan Estranged ini menjadi siulan kerana liriknya yang berkait rapat dengan kemeriahan Pesta Kaamatan.

"Muzik videonya yang memaparkan beberapa bekas pemenang ratu cantik Unduk Ngadau termasuk pengacara terkenal Daphnie Iking yang merupakan pemenang Unduk Ngadau tahun 2003 juga menarik minat ramai pihak," kata Marsha.

Walaupun lagu ini dinyanyikan dalam dialek Sabah, ia juga menarik perhatian peminat dari Semenanjung sehinggakan ada yang telah menukar lirik mengikut negeri masing-masing sehinggakan muncul video parodi lagu Sumandak Sabah.

“Pada asalnya lagu ini diterbitkan berdasarkan idea gabungan kami berdua untuk menyumbangkan sesuatu yang boleh diraikan bersama rakyat Sabah selain memperkenalkan keunikan Pesta Kaamatan dan Unduk Ngadau kepada umum.

"Sambutan sangat baik dan setakat ini, tontonan telah mencecah 1.2 juta di laman YouTube. Kami rasa sangat gembira kerana lagu ini diterima ramai dan mendapat reaksi positif peminat di Semenanjung juga," kata Velvet pula.

Selepas sambutan Aidilfitri, kedua penyanyi ini akan giat melakukan aktiviti promosi lagu ini.

Dalam perkembangan lain, Marsha bakal muncul dalam program Rumah Terbuka AF 2018 yang bakal bersiaran Aidilfitri ini.

Diacarakan oleh Datuk Aznil Haji Nawawi, Rumah Terbuka AF 2018 yang turut dihadiri bekas pengetua, tenaga pengajar, bekas pengacara dan ramai lagi ini akan ditayangkan Astro Ria (104), Astro Ria HD (123) dan Astro Raya HD (122) pada Hari Raya Kedua (16 Jun) pada jam 2.30 petang.

Teks: Kamaruddin Razal