Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menyediakan Penempatan Sementara Gelandangan (PSG) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi membendung para gelandangan daripada dijangkiti wabak COVID-19.

Namun hikmah di sebalik penempatan sementara sepanjang PKP ini, ada beberapa orang gelandangan yang telah menemui waris keluarga yang telah terpisah lama.

Menerusi laman sosial Facebook, halaman rasmi DBKL telah berkongsi beberapa keping foto pertemuan ini untuk tatapan umum.


“Pengumpulan mereka di satu tempat yang lebih selamat dan teratur tanpa disedari telah memudahkan waris/majikan mereka untuk mengesan semula ahli keluarga yang terpisah sejak sekian lama.

“Hasilnya terdapat permintaan daripada beberapa waris/majikan penghuni PSG yang ingin membawa mereka pulang ke rumah, memandangkan hari perayaan bakal menjelang tiba,” tulis pengendali akaun tersebut.

Sebagai langkah keselamatan, pihak DBKL telah membenarkan waris atau wakil majikan untuk mengambil penghuni PSG ini pulang namun harus mematuhi beberapa prosedur pelepasan termasuk Surat Aku janji untuk menjaga mereka supaya tidak berkeliaran lagi di bandaraya.



Malah, semua penghuni PSG ini telah menjalani saringan COVID-19 dan hasil ujian terhadap mereka adalah negatif.

Hasil tinjauan Gempak di ruangan komen, rata-rata wargamaya berterima kasih dan memuji tindakan DBKL dalam mewujudkan usaha ini.

“Terima kasih DBKL atas kebaikan menemukan mereka dengan ahli keluarga terpisah,” puji seorang wargamaya.

“Terbaik dan terima kasih DBKL kerana menyantuni sesama insan,” komen seorang wargamaya.

“Alhamdulillah, ada yang jumpa semula dengan keluarga. Terbaik DBKL,” tulis seorang wargamaya.

“Semoga aktiviti ini berterusan supaya mereka tidak lagi terjebak ke jalanan,” kata seorang wargamaya lagi.