Hasrat usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman untuk membeli pasukan bola sepak Kedah (KFA) disambut baik oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Memetik laporan Sinar Harian, Muhammad Sanusi yang merupakan Presiden KFA menyatakan mereka sememangnya mengalu-alukan mana-mana hartawan dan usahawan berminat dengan pasukan itu untuk berunding dengan pihak pengurusan tertinggi.

"Kita alu-alukan mana-mana hartawan, usahawan dan sebagainya untuk berunding dengan KFA sama ada berminat untuk membeli ataupun menaja pasukan Kedah, kita akan pertimbangkan.



"Jikalau beliau berminat, boleh datang bertemu dengan saya untuk berunding," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, setakat ini pihaknya ada berunding dengan beberapa pihak termasuklah sebuah koperasi yang mengemukakan tawaran dilihat baik untuk mengendalikan pasukan secara bersama.

Muhammad Sanusi berkata, pihaknya menyambut baik hasrat mana-mana pihak dan akan mempertimbangkan cadangan terbaik untuk pasukan Kedah.

"Lagipun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ada menasihatkan supaya tidak menerima tawaran yang merugikan, yang mana kita akan patuh dengan pandangan diberikan itu," jelasnya lagi.

Terdahulu, Aliff memilih Kedah yang juga merupakan negeri kelahiran isterinya dan pada masa yang sama sedang meneliti pasukan lain dengan kriteria utama adalah mempunyai penyokong yang ramai dan berpengaruh.

“Kalau boleh nak beli pasukan Kedah. Kalau JDT memang tak mampu. Rasanya itu saja yang ada pengaruh sangat kuat," ujar Aliff kepada Arena Metro.

Pada 2016, usahawan dengan tagline Terlajak Laris itu pernah berhasrat untuk menaja pasukan Helang Merah namun rundingannya dengan KFA tidak berjaya.