Laman Utama

#NakCakapSikit: Komputer Riba & Handphone Tak Cukup…Macam Mana? Ada 3 Orang Anak Nak Mulakan Kelas PdPR Hari Ini!

gempak
Fiza Kamarudin
20/01/2021
09:28 MYT
Sponsor Banner
#NakCakapSikit: Komputer Riba & Handphone Tak Cukup…Macam Mana? Ada 3 Orang Anak Nak Mulakan Kelas PdPR Hari Ini!
Umum mengetahui hari ini bermulalah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi sesi persekolahan pada tahun 2021 di seluruh negara.
Tidak dinafikan cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memastikan murid dapat mengikuti pembelajaran secara optimum adalah sangat baik disaat negara masih berdepan penularan Covid-19.
Bagaimanapun timbul perdebatan di kalangan ibu bapa yang memiliki lebih daripada seorang anak dan terpaksa menghadiri kelas PdPR secara serentak.
Antara persoalan yang timbul ialah, masalah peranti elektronik tidak mencukupi untuk diberikan kepada anak-anak dan bimbang jika tidak mengikuti kelas akan keciciran akademik.
Ada juga yang bimbang tidak sempat memantau anak-anak secara serentak ketika PdPR dijalankan serta masalah akses internet.
Menyelami keprihatian ibu bapa mengenai isu ini, penulis sempat meminta pandangan secara rawak menerusi laman sosial peribadi.
Rata-rata memberikan jawapan tidak mempunyai masalah dengan PdPR yang dijalankan kerana pihak sekolah dan guru telah memberikan beberapa inisiatif untuk isu berbangkit tersebut.
Antaranya merekod pembelajaran harian serta memberikan nota harian kepada pelajar supaya tidak berlaku masalah keciciran atau pertembungan untuk menggunakan peranti elektronik.
Dalam pada itu, ada juga ibu bapa yang menyuarakan cadangan agar sistem ini dapat diperhalusi dari semasa ke semasa.
Sebagai contoh, penyanyi Azharina Azhar berpendapat pihak kerajaan mungkin boleh menyediakan baucar kepada ibu bapa kurang berkemampuan untuk membeli komputer riba.
Atau sekolah dapat menyediakan bantuan khaskomputer riba kepada murid-murid bagi tujuan pembelajaran PdPR?
Persoalan lain yang timbul adalah mengenai kumpulan pelajar Pendidikan Khas yang memerlukan cara pembelajaran lebih khusus dan ibu bapa berasakan kelas secara atas talian tidak begitu efisyen bagi anak-anak istimewa ini.
PdPR ialah PdP yang dilaksanakan di rumah atau pusat komuniti atau di mana-mana lokasi yang bersesuaian dan kaedah ini boleh dilaksanakan dalam talian atau luar talian atau off-site dengan berstruktur dan terancang.
Menerusi pendekatan dalam talian, cara pembelajaran melalui capaian internet, peranti dan belajar secara ‘real time’.
Bagi pelaksanaan luar talian pula murid belajar menggunakan peranti seperti komputer, komputer riba, tablet atau telefon pintar tanpa capaian internet.
Selain itu, untuk membantu murid yang tidak mempunyai akses internet atau peranti sesuai, guru mengambil inisiatif melaksanakan PdP melalui serahan bahan pembelajaran kepada murid mengikut kesesuaian.
Murid juga boleh menggunakan buku teks cetak sebagai bahan rujukan, penyediaan nota, membuat rumusan atau melukis sesuatu konsep manakala buku aktiviti pula boleh digunakan untuk membuat latihan ulang kaji.
Guru akan mentaksir murid secara berterusan mengikut kesesuaian dan melaksanakan intervensi mengikut tahap dan keupayaan murid.
Meskipun menerima pelbagai pandangan mengenai pelaksanaan PdPR, kita berharap kaedah pembelajaran ini akan berjaya dilaksanakan.
Kejayaan PdPR ini memerlukan sokongan semua pihak terutamannya KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), sekolah, guru, ibu bapa dan penjaga serta komuniti.
Pelaksanaan komprehensif ini diharap dapat memperkasa pendidikan digital negara dan pada masa yang sama kerajaan perlu menumpukan kepada meningkatkan akses internet dan pemilikan peranti murid sekolah di seluruh negara.
Nak Cakap Sikit: Selamat kembali ke sekolah! Perlahan-lahan kita cuba adaptasi pembaharuan ini ya...Sama-sama kita putuskan rantaian Covid-19 supaya dapat belajar di sekolah seperti biasa!
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live