Penyanyi, Idayu menafikan dakwaan dirinya antara yang ditahan oleh polis kerana disyaki memiliki ribuan pil kuda di Sungai Golok,Narathiwat, Thailand.
Menerusi satu hantaran di Instagram Story, Idayu, atau nama sebenarnya Nur Farah Idayu Yaakob, 39, menegaskan wanita Kelantan yang dimaksudkan itu bukanlah dirinya dan memohon agar netizen berhenti menuduhnya.
“Ramai betul yang tag kita, kes penyanyi wanita asal Kelantan kena tahan bersama pil.
“Aiyo, bukan kak Yuyu ye… Harap bertenang,” katanya menerusi Instagram Story.
Idayu membuat penjelasan tersebut selepas netizen mula memetik namanya di media sosial.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai seorang penyanyi wanita yang berasal dari Kelantan ditahan oleh pihak polis Thailand bersama ribuan pil kuda dalam satu serbuan di sebuah hotel di Sungai Golok, Narathiwat pada pagi Jumaat lalu.
Selain Idayu, antara nama penyanyi lain yang disebut adalah Misha Omar dan juga pelantun lagu Bea Soba Bea, Eda Ezrin.