Pelakon Nas Muammar Zar atau dahulu dikenali sebagai Nas-T diumumkan memegang peranan adiwira ikonik Malaysia, Keluang Man.

Filem Keluang Man yang bakal diarahkan oleh sutradara muda yang prolifik, Anwari Ashraf dijadual menjalani penggambaran pada 2024 dan ditayangkan tahun 2025.

Namun sebelum menonton Keluang Man versi filem, apa kata kita imbas semula fakta menarik mengenai animasi adiwira yang ditayangkan antara tahun 1998 sehingga 2005 ini.

Watak utama Keluang Man adalah lelaki normal bernama Borhan. Borhan tidak memiliki kuasa luar biasa atau ajaib seperti adiwira yang ditonjolkan kebanyakan karya Barat. Borhan menawan hati dengan kejujurannya sebagai seorang penyelamat yang membenteras jenayah.

Di sebalik topeng Keluang Man, Borhan adalah seorang pesakit mental dan menetap di Hospital Bahagia Tumpoi. Dia merupakan seorang jaguh silat sebelum dimasukkan ke hospital gila.

Keluang Man mempunyai sahabat baik bernama Tiong Man di Hospital Bahagia Tumpoi. Nama sebenarnya adalah Samad yang akan menjelma menjadi Tiong Man pada waktu malam.

Siri animasi Keluang Man diilhamkan oleh Allahyarham Kamn Ismail dan diterbitkan oleh UAS Animation Studios. Kamn Ismail juga merupakan pengarah animasi yang sebelum ini memperkenalkan karakter Usop Sontorian.

Selain Kamn dua lagi pengarah pernah duduk di kerusi sutradara mengarahkan animasi ini. Mereka adalah Mohd Ariffin Jamal (2001 - 2003) dan Arjuna Ibnu Tapa sehingga 2005.

Raja Zaharuddin Shah Raja Chik, salah seorang bekas animator Usop Sontorian telah menghasilkan rekaan watak animasi dan lakaran ceritanya yang pertama.

Keluang Man merupakan animasi tempatan pertama yang menggabungkan animasi 2D dengan latar belakang 3D.

Sepanjang bersiaran, Keluang Man telah ditayangkan sebanyak tujuh musim dengan 144 episod.

BERITA TRENDING: Nas-T Diumum Sebagai Keluang Man​