HIBURAN
Nazrief Nazri Terima Permohonan Maaf Individu Fitnah Isteri Tapi….
Pelakon Nazrief Nazri tampil membuat penjelasan susulan isu tular membabitkan seorang pengguna media sosial yang didakwa memfitnah isterinya, Aizatul Aqma Hamdan, sehingga memberi tekanan emosi kepada keluarganya.
Menerusi satu video yang dimuat naik di media sosialnya, Nazrief secara tegas memberi tempoh 24 jam kepada pemilik akaun TikTok @nur_syazwani119 untuk tampil memohon maaf secara terbuka atas dakwaan mencuri kandungan serta menyebarkan tuduhan tidak berasas terhadap isterinya.
“Saya jarang nak bergaduh dengan orang, tapi bila dah ada yang cari pasal dengan keluarga saya terutama isteri, anak dan ibu bapa, saya tak boleh berdiam diri.
“Aku nak mudah je. Aku nak pemilik akaun @nur_syazwani119 ini minta maaf. Aku bagi 24 jam saja untuk minta maaf kepada isteri aku sebab pasal engkau isteri aku kena fitnah macam-macam. Isteri aku sedih menangis-nangis malam tadi,” katanya.
Nazrief turut menyelar sikap individu yang menulis sesuka hati tanpa mengenali latar belakang orang yang difitnah, serta hanya berani berselindung di sebalik skrin telefon.
“Cuba kau cakap benda ni depan-depan, kau tak berani pun kan?” katanya.
Bagaimanapun, dalam kemas kini terbaharu, Nazrief memaklumkan bahawa individu terbabit telah pun membuat permohonan maaf.
Namun, pelakon drama Seribu Tahun itu memilih untuk tidak memadam video tersebut sebagai tanda pengajaran buat semua masyarakat.
“Update: Akaun @nurshazwani119 ni dah pun buat permohonan maaf. Tapi saya kena biarkan video ni dahulu supaya masyarakat Threads yang bodoh kutuk-kutuk wife saya tu tahu yang sebenarnya mereka telah memfitnah benda yang tak betul.
“Ini semua ikut sedap jari nak tulis fitnah orang macam diri tu terpaling bagus,” tambahnya.
Terdahulu, Nazrief turut memberi amaran akan mengambil tindakan lanjut termasuk membawa perkara tersebut ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sekiranya permohonan maaf tidak dibuat dalam tempoh yang ditetapkan.
Sumber: Threads
Must-Watch Video