Selebriti dan usahawan terkenal Neelofa mengakui kelemahan dan ketidaksempurnaannya memberi pandangan mengenai luahan kesedihan seorang pemanggil ditinggal ibu kandung ketika kecil dalam segmen 3 Pagi Era.

Bagaimanapun Neelofa memberitahu apa yang dikatakan ketika itu sama seperti mana yang ada dalam Al-Quran dan hadis.

“Apa yang saya cakap dalam waktu yang singkat tu tidak lengkap, saya faham bila orang cakap tak sentuh aspek lain seperti mental health, saya akui benda itu… mungkin kelemahan dan ketidaksempurnaan saya memberi pandagan.

“Tapi bila sentuh fasal mak ayah ini, penjelasan dalam bab agama itulah dia. Itulah yang saya tak boleh tukar, ini bukan apa yang saya cakap, tapi ini yang Allah cakap dalam Quran dan apa yang Nabi sebut dalam hadis-hadisnya,” katanya kepada Gempak.

Reaksi Spontan & Tak Cukup Masa

Kata Neelofa lagi, apa yang disampaikan ketika itu juga merupakan reaksi spontan dan dia tidak mempunyai masa yang lama untuk beri huraian yang lengkap termasuk mengambil kira dari segi kesihatan mental.

“Masa itu saya pandang Nabil cakap ‘Ya Allah aku tak sempat nak jadi terapi cakap fasal benda ini’. Tapi secara spontan, itu adalah reaksi dan jawapan daripada saya yang mana sudah tentu kita tak ada masa lima atau 10 minit untuk hurai.

“Tapi lagi sekali, saya mengakui kelemahan dan ketidaksempurnaan saya dalam memberi pandangan itu. Kalau saya dapat masa untuk huraikan, InsyaAllah dengan adanya video daripada semua (media) mungkin orang itu memaham.

“Sebenarnya ada baca la beberapa orang mesej dan DM cakap ini sepatutnya cara jawab. Tapi saya tak ambil kira, mungkin saya setuju juga. Mungkin saya tak beri jawapan yang lengkap yang mengambil kira perasaan, keperitan dan kesukaran. Itu saya mengaku dan saya akur,” ujarnya.

Bukan Seorang Ustazah

Mengakui dirinya bukan seorang ustazah, Neelofa berkata soal ibu bapa bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk diperdebatkan.

“Saya bukan ustazah atau orang-orang yang layak bercakap tapi sekadar kongsi sikit, bila cakap tentang mak ayah memang susah nak diperdebatkan, reda Allah bergantung pada reda mak ayah, berkat Allah adalah berkat daripada mak ayah juga, kalau mak ayah tak reda macam kita nak reda Allah.

“Apa yang adik itu lalui iaitu membesarkan adik-adik tanpa mak ayah, sudah pasti tiada siapa yang mahu berlaku atau ingin lalui, Allah beri kekuatan untuk dia, ibu dia datang penuh penyesalan, carilah sedikit ruang untuk memaafkan,” katanya.

Jangan Menilai Kehidupan Seseorang

Bagaimanapun Neelofa turut beranggapan tidak adil untuk seseorang itu menilai kehidupan yang dilalui memandangkan dia dibesarkan dalam keluarga yang bercerai.

“Tidak adil untuk seseorang menilai hidup orang lain ‘tak apa la hidup dia sempurna, tak susah’. Saya tak pernah kongsi tentang ibu bapa saya. Saya datang daripada keluarga yang bercerai.

“Kisah hidup saya, dengan mak ayah saya, tak sempurna sebab itu saya tak kongsi. Tak semestinya saya baik-baik saja. Tapi kita lalui hidup ini dengan cara mana apa yang betul yang diajar,” ujarnya.

Baru-baru ini, Neelofa ditegur tiada empati ketika memberi pandangan terhadap luahan kesedihan seorang pemanggil ditinggal ibu kandung ketika kecil dalam segmen 3 Pagi Era.

BERITA TRENDING: Tak Menggelupur Respons Isu & Kontroversi, Ini Cara Neelofa & Awal Ashaari Tangani Krisis! - "Pantas Jawab Mungkin Dipengaruhi Emosi"

BERITA TRENDING: Neelofa Pilih Konten Untuk Anak Tengok - “Bab Screen Time Saya Rasa Berbaloi Kawal”