Berita
Nelydia Senrose Disaman, Dituntut Pulang Wang RM160,000
Pelakon Nelydia Senrose disaman syarikat produk kosmetik Chriszen Malaysia Sdn Bhd kerana didakwa melanggar kontrak sebagai duta, tahun lalu.
Menurut laporan Harian Metro, pengasas yang juga Pengarah Urusannya, Mandy Leong ketika ditemui berkata, pihaknya hanya mahu menuntut pulangan wang sebanyak RM160,000 daripada Nelydia sebagai ganti rugi.
"Sebaik dia (Nelydia) bersetuju dengan kontrak syarikat kami sebagai duta, saya sudah membayarnya sebanyak RM102,000 iaitu kira-kira 70 peratus daripada jumlah penuh.
"Bagaimanapun, dia gagal melaksanakan tanggungjawab apabila tidak melakukan aktiviti promosi dan publisiti seperti yang termaktub dalam kontrak.
"Antaranya membuat hantaran mengenai produk sebanyak 15 kali di media sosial, menghadiri dua kali promosi di televisyen dan datang ke majlis pelancaran produk kami pada 25 April tahun lalu," katanya.
Menurut Mandy, dia kesal kerana pelakon itu tidak memberi kerjasama sebaiknya sebagai duta produk yang dilantik kerana hanya terbabit dengan satu sesi fotografi produk sahaja.
Hari ini, berlangsung prosiding perbicaraan hari pertama kes itu yang dijalankan di hadapan Hakim Shamsuddin Abdullah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Chriszen selaku plaintif diwakili peguam Tan Eng Keat, manakala Nelydia dan pengurusannya selaku defendan kedua Alfie Management Sdn Bhd diwakili peguam Amirul Izzat dan Lim Zi-Han.
Sementara itu, Nelydia ketika ditemui di perkarangan mahkamah berkata, dia tidak boleh mengulas mengenai tuntutan berkenaan dan menyerahkan kepada pihak mahkamah.
"Maaf saya tak boleh komen apa-apa mengenai kes ini kerana tidak mahu mengganggu proses mahkamah.
"Apapun, kehadiran saya di sini adalah sebagai tanda kerjasama penuh diberikan terhadap perbicaraan kes ini," katanya.
Perbicaraan akan disambung pada 16 Julai depan.
Sumber: Harian Metro
Must-Watch Video