Laman Utama

"Nervous Sekali!"- Beraksi Di Asia Got Talent 2023, Cakra Khan Tak Hirau Komen Simon Cowell

gempak
Syafiqah Jalal
15/08/2023
09:28 MYT
Sponsor Banner
"Nervous Sekali!"- Beraksi Di Asia Got Talent 2023, Cakra Khan Tak Hirau Komen Simon Cowell
Penyanyi popular Indonesia, Cakra Khan dedah terlalu gementar dan tertekan sewaktu beraksi di pentas uji bakat America's Got Talent (AGT) 2023 yang disiarkan pada 18 Julai lalu.
Kata Cakra, 31, disebabkan tekanan membuat persembahan itu dia yang membawakan lagu Make It Rain yang dipopularkan Ed Sheeran dan No Woman, No Cry nyanyian asal Bob Marley berkelakuan agak berbeza.
"Sebenarnya saya sangat gementar. Berada di pentas AGT 2023 saya pastinya 'nervous', sama juga jika buat persembahan di Indonesia.
"Tetapi jika di Indonesia, ada teman-teman di belakang pentas. Namun di sana, saya sendirian dan yang berada di belakang pentas semuanya saya tak kenal.
"Justeru, ia menjadi suatu tekanan sangat luar biasa. Ketika menyanyi, saya pegang mikrofon dengan kedua-dua tangan dan rapatkan ke dada," katanya kepada Astro Gempak
Cakra berkongsi perkara berkenaan pada sidang media konsert Cakra Khan Live in Kuala Lumpur secara virtual, pada Isnin.
Cakra memukau juri yang paling digeruni, Simon Cowell yang kagum dengan bakat luar biasanya, sehingga memperoleh 'yes' daripadanya dan semua barisan juri.
Berdepan dengan Simon buat kali pertama, Cakra memberitahu dia hanya mahu beri yang terbaik dalam persembahannya dan selebihnya terpulang kepada juri itu untuk menilai.
"Ketika itu, saya sebetulnya selepas menyanyi, tidak fikir apa. Sebab apa yang penting, saya dapat habiskan lagu.
"Lagu pertama tidak dapat habiskan kerana Simon tidak suka. Bila diberi peluang lagu kedua, saya tidak fikir komen, tetapi apa yang penting saya dapat selesaikan dengan sebaik mungkin.
"Yang penting semuanya beres, jadi buat saya lega," katanya.
Sementara itu, berkongsi mengenai persiapannya menjelang konsert Cakra Khan Live in Kuala Lumpur yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 17 September depan, Cakra memberitahu sedang menjalani latihan secukupnya.
"Sekarang ini, saya masih menjalani latihan kerana saya orangnya mahu ingin memberikan maksimum yang boleh. Saya juga berlatih menyanyi hampir setiap hari.
"Bagaimana pun sebagai penyanyi, berehat sangat penting, jadi saya perlu rehat secukupnya dan jaga kesihatan.
"Saya sudah fikir lagu apa yang mahu bawakan, jadi tunggu saya kongsi berita apabila berangkat ke sana," ujarnya.
Konsert Cakra Khan Live in Kuala Lumpur - Dream Festival Collaboration Volume 4 turut menampilkan artis undangan iaitu Riri Moeya dan Nadeera Zaini.
Tiket menyaksikan Dream Festival Collaboration Vol 4 - Cakra Khan Live in Kuala Lumpur dijual pada harga RM178, RM198, RM318, RM508 dan RM5,880 (Royal Box untuk lapan penonton) boleh diperoleh dengan melayari www.ticket2u.com sejak 15 Julai lalu.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live