Sekilas
- Trailer filem SAYANG SAYANG mendapat perhatian netizen kerana jalan ceritanya mengingatkan mereka kepada karya pengarah terkenal, arwah Yasmin Ahmad.
- Pengarah Tang Hsiang-Chu menegaskan filem ini membawa mesej perpaduan budaya tetapi tidak berani menyamakan karyanya dengan hasil seni Yasmin Ahmad.
- Filem ini mengisahkan tiga anak muda pekak dan bisu dari latar belakang berbeza dan akan ditayangkan di Taiwan pada 16 Oktober serta di Malaysia pada 5 November.
Trailer filem SAYANG SAYANG mencuri perhatian netizen apabila ramai menyifatkan jalan ceritanya mengingatkan mereka kepada karya pengarah tersohor Malaysia, allahyarhamah Yasmin Ahmad.
Persamaan dari segi semangat menyatukan masyarakat berbilang kaum menerusi penceritaan yang menyentuh emosi antara perkara yang membuatkan penonton mengaitkan filem berkenaan dengan karya pengarah yang cukup dikenali menerusi filem-filem sarat mesej kemanusiaan itu.
Bagaimanapun, pengarahnya, Tang Hsiang-Chu mengambil pendekatan merendah diri apabila diminta mengulas mengenai perbandingan tersebut.
Menurut Tang, meskipun filem berkenaan membawa mesej tentang kepentingan memahami perbezaan budaya, dia tidak berani menyamakan karyanya dengan hasil seni arwah.
“Walaupun cerita ini bertujuan untuk memupuk persefahaman antara budaya, saya tidak berani membandingkannya dengan karya hebat Yasmin Ahmad,” katanya.
Persamaan itu turut mendapat perhatian netizen di ruangan komen trailer berkenaan apabila rata-rata meluahkan keterujaan mereka terhadap filem tersebut.
"Ia beri suasana Yasmin Ahmad. Ini apa yang saya suka pada filem Malaysia. Nampak meyakinkan.
"Ia seakan beri sentuhan Yasmin Ahmad dengan Syafiq Yusof.
"Aku nampak keajaiban Yasmin Ahmad.
"Teringat arwah Yasmin Ahmad. Terima kasih keluarkan filem yang sangat bijak dan pelbagai kaum," komen netizen
SAYANG SAYANG mengisahkan tiga anak muda pekak dan bisu daripada latar belakang berbeza, Ajay, Mina dan San San yang mencari identiti, impian serta tempat mereka dalam kehidupan.
Filem tersebut turut menampilkan Mhia Firdaus, Nandagopall Mohan, Sasha Tang, Amir Ahnaf, Jo Kukathas, Farah Ahmad, Khir Rahman dan ramai lagi.
SAYANG SAYANG bakal ditayangkan di Taiwan pada 16 Oktober ini sebelum menggegarkan pawagam di Malaysia bermula 5 November depan.