Apa sahaja yang dimuatnaik di YouTube pasangan romantis Mira Filzah dan suami, Wan Emir Astar mesti akan menjadi bualan netizen.

Bikin kek, suami solekkan Mira, Mira cium tangan suami, segalanya jadi perhatian netizen di saluran #EmirAmirah.

Mengulas mengenai situasi itu, kata pelakon drama bersiri The Maid itu, dia tidak pernah ambil pusing.

"Ini di luar kawalan saya, buatlah apa saja pun orang akan berkata-kata, tapi saya ambil secara positif.

"Mujurlah saya jenis yang tak kisah sangat, tak emosi dan tak stress. Saya rileks saja, orang nak kata, katalah.

"Saya tak tersinggung pun sebab dah faham dunia sosial media dan digital," katanya kepada Gempak.

Begitu juga suaminya, Wan Emir yang melihat komen netizen sebagai sebahagian daripada hidupnya kini. Anggapannya, ia sekadar satu lelucon.

"Suami pun cool saja, tak stress dan lagi neutral berbanding saya," tambah Mira tertawa.

Mira yang muncul dalam drama bersiri baharu The Maid turut teruja dengan sambutan luar biasa yang diterima daripada penonton.

Malah sehingga kini, penonton masih berteka teki siapakah yang membunuh watak yang dipegangnya, Elisa.

The Maid merupakan siri baharu original Gempak yang ditayangkan setiap hari Rabu, jam 9.30 malam di Astro Ria (124) dan Astro Ria HD (104).

Karya yang mendapat sentuhan daripada pengarah filem pecah panggung ‘Bikers Kental’, iaitu Helmi Yusof dan terbitan oleh Michael Ang itu akan bersiaran selama setengah jam sebanyak 10 episod.

Selain Mira Filzah, The Maid turut menampilkan pelakon-pelakon seperti Norman Hakim, Sherry Al Hadad, Datin Paduka Eina Azman, Ezzaty Abdullah, Ieda Moin, Nadya Shahera, Zarina Zainoordin, pengacara Gempak TV iaitu Isha Norsham dan Siti Khadijah.

The Maid mengisahkan seorang lelaki bernama Jayden seorang penulis novel yang popular. Di mata masyarakat, Jayden dan empat isterinya hidup dengan penuh harmoni dan kasih sayang tetapi sebenarnya tidak. Setiap daripada mereka membenci antara satu sama lain dan hanya berpura-pura bahagia.

Bagaimanpun, hanya pembantu rumah mereka sahaja tahu cerita sebenarnya. Konflik timbul bermula dengan kematian isteri keempat Jay iaitu Elisa lakonan Mira Filzah. Elisa dijumpai mati ketika Jay dan isteri-isterinya mengadakan makan malam dan ketiga-tiga isteri Jay yang lain merupakan suspek pembunuhan.

Penyiasatan bermula dan rahsia demi rahsia milik isteri Jay telah dibongkar. Situasi menjadi lebih misteri apabila Citra lakonan Siti Khadijah Halim muncul sebagai pembantu rumah yang baru.

Siapakah dalang di sebalik kematian Elisa?

Semuanya bakal dibongkar dalam drama bersiri THE MAID setiap Rabu, jam 9.30 malam di Astro Ria (124) dan Astro Ria HD (104). Anda juga boleh strim di Astro Go dan On Demand.